Beberapa hari lalu anak-anak muda Malaysia mencuri perhatian dunia apabila mereka bersolidariti ke atas ahli keluarga seagama yang tertindas di bumi Palestin melalui platform permainan video Roblox.

Walaupun masih belum cukup umur, namun kreativiti mereka mendapat pujian dunia. Video yang tular itu turut mendapat perhatian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Dr Zul).

Baca Juga:

Menerusi satu hantaran video dikongsikan semalam, Dr Zul mengucapkan tahniah dah syabas kepada anak-anak muda yang cakna mengenai konflik yang sedang berlaku di Palestin.

“Permainan Roblox, fenomena baharu yang dilakukan oleh kanak-kanak yang ada prihatin dan cakna kepada bumi Palestin dan Gaza.

“Cetusan idea yang bagi saya amat luar biasa yang dikembangkan dalam bentuk demonstrasi melalui alat mainan semata-mata dan ini sebahagian juga daripada solidariti yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

“Bahkan kumpulan ini juga telah mengajak seluruh rakyat Malaysia terutamanya kanak-kanak dan juga merebak ke seluruh dunia,” ujar Dr Zul menerusi video berdurasi 1 minit 34 saat.

Tambah beliau lagi, apa yang ditonjolkan itu adalah gambaran perasaan dan hati sanubari kanak-kanak yang cintakan kepada kedamaian, keamanan bumi Palestin, Gaza.

Terdahulu penstrim permainan video, Cikgu Zyd telah menganjurkan ‘himpunan online‘ sebagai tanda solidariti terhadap Palestin melalui aplikasi permainan video, Roblox.

Difahamkan bukan sahaja mendapat sambutan daripada kanak-kanak di Malaysia, malah himpunan itu turut tular dan telah disertai oleh pemain luar negara sehingga mencecah kira-kira 200 pemain.

Manakala perhimpunan virtual itu dijalankan di sebuah game server yang diberi nama Dataran Tanjung Mas. Bagi rekaan susun atur di Roblox pula direka oleh pemain tingkatan tiga yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di Muar, Johor.