Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rombakan Semula Kursus Mata Pelajaran Umum (MPU), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menyatakan terdapat dua kursus baharu akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tahun hadapan yang wajib diikuti semua pelajar.

Kursus baharu itu adalah ‘Aspirasi Pembinaan Negara Bangsa’ serta ‘Falsafah dan Pemikiran Kontemporari’ disenaraikan di bawah Mata Pelajaran Umum (MPU).

Lebih 1.2 juta pelajar dijangka mengikuti kursus berkenaan. Pelajar politeknik dan kolej komuniti juga wajib mengambil kursus baharu itu.

Kedua-duanya hasil rombakan terhadap kursus ‘Etika dan Peradaban’, petik Berita Harian.

“Penghasilan kursus baharu itu hasil rombakan daripada kursus sebelum ini iaitu ‘Etika dan Peradaban’ yang ditukar namanya pada 2018 daripada ‘Hubungan Etnik’.

“Tahun lalu Kabinet mengeluarkan kenyataan kursus perlu disemak semula untuk mengemas kini kandungan dan fakta.

“Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan jawatankuasa bagi semakan dan pengenalan kursus berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.

Sehingga kini pihak jawatankuasa sedang membangunkan modul baharu dalam kursus itu.

Katanya, selepas itu, ia akan dibawa ke Majlis Penasihat Pendidikan Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum diluluskan di peringkat Kabinet nanti.

Sumber