Dua orang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah, setelah motosikal mereka bertembung sesama sendiri kerana mengelak sekatan jalan raya yang dibuat oleh polis di Sandakan.
Kejadian itu berlaku di Batu 16, Jalan Kuari 3, Gum Gum semalam. Di mana polis melancarkan Operasi Samseng Jalanan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Malek mengesahkan kejadian itu berlaku pada 5.30 petang. Dua orang maut tersebut berusia 22 dan 24 tahun.
Kesemua mangsa termasuk dua yang maut adalah mereka yang cuba mengelak sekatan selepas berlumba haram – menurut sumber polis.
Abdul Fuad Malek berkata: “Semasa operasi dilakukan, terdepat sekumpulan motosikal cuba melarikan diri dan akibat daripada itu, 3 motosikal bertembung sesama sendiri, sehingga berlaku kemalangan maut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas Fuad kepada BERNAMA.
Hasil daripada operasi bersepadu itu, polis berjaya menyita 60 buah motosikal dan 16 buah kereta di atas pelbagai kesalahan setelah memeriksa 105 unit kenderaan dalam sekatan tersebut.
Antara kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalanraya adalah ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan juga termasuk kesalahan penggunaan dadah.
5 orang ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah 1952 kerana ketagih ketamin dan ganja.
Fuad menyatakan Operasi Samseng Jalanraya itu akan diteruskan dan digiatkan lagi untuk terus membanteras aktiviti lumba haram di negeri itu.
Ini juga untuk memastikan ketenteraman orang awam terus terjamin daripada mendengar bunyi bising serta masalah sosial yang boleh memudaratkan keselamatan orang awam ketika menggunakan jalan raya.