Pengedar tempatan bagi jenama kosmetik antarabangsa yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi iklan mengelirukan kini boleh menarik nafas lega selepas pihak berkuasa menerima rayuan mereka dan membenarkan produk itu dijual semula di pasaran tempatan.
Produk dibenarkan dijual semula, namun dengan amaran
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengesahkan bahawa dua pengedar produk kosmetik yang diimport dari China telah mengemukakan rayuan pada 10 Februari lalu dan kini dibenarkan untuk kembali beroperasi.
Walau bagaimanapun, mereka diberikan amaran tegas di mana jika kesalahan sama berulang, hak penjualan akan ditarik balik.
Sebelum ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan surat amaran pada 31 Januari lalu, memberi tempoh 14 hari kepada pemegang notifikasi untuk memberikan maklum balas.
Gagal berbuat demikian akan menyebabkan notifikasi produk mereka dibatalkan serta-merta.
Iklan mengelirukan punca produk dikenakan amaran
Kontroversi ini difahamkan tercetus selepas iklan jenama terbabit menyebabkan pengguna mempercayai bahawa larutan pengelupasan kulit berwarna merah dan krim pelindung matahari mereka boleh dimakan.
Ini mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa yang bertindak pantas dengan mengeluarkan notis amaran terhadap pengedar produk berkenaan.
Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa iklan tersebut telah ditarik balik sebelum tarikh akhir 14 Februari dan pengedar juga mendakwa bahawa iklan serta hantaran di TikTok itu dibuat oleh duta mereka, di luar kawalan syarikat.
NPRA terus pantau pergerakan jenama kosmetik ini

Selepas meneliti tindakan pembetulan yang dilakukan, NPRA berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh pihak pengedar dan membenarkan notifikasi produk diteruskan.
Namun, ini datang dengan satu amaran penting di mana jika kesilapan sama berulang, notifikasi akan dibatalkan serta-merta tanpa sebarang notis.
NPRA juga memberi jaminan bahawa pemantauan ketat akan terus dilakukan ke atas jenama kosmetik ini, termasuk halaman media sosial dan laman web mereka, untuk memastikan tiada pelanggaran baharu berlaku.
“Pemantauan berterusan terhadap iklan kosmetik juga akan dijalankan untuk menjaga kualiti kosmetik yang dinotifikasi dan melindungi keselamatan pengguna,” kata Dr Dzulkefly.
Kes ini menjadi pengajaran penting buat jenama kosmetik lain yang beroperasi di Malaysia. Iklan yang mengelirukan bukan sahaja boleh mencetuskan panik dalam kalangan pengguna, tetapi juga boleh menyebabkan jenama kehilangan hak untuk beroperasi di pasaran tempatan.
Menerusi pemantauan berterusan dari NPRA, jenama kosmetik di Malaysia kini perlu lebih berhati-hati dalam strategi pemasaran mereka bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.