Polis menaham dua suspek yang dipecayai terlibat dalam kes pecah masuk rumah pemain pertahanan pasukan Selangor, Khuzaimi Piee pada Jun lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan ditahan di Kuala Terengganu dan pernah terlibat dalam beberapa kes pecah masuk rumah di empat negeri lain, termasuk Selangor dan Terengganu.

Baca Juga:

“Antara barang yang dirampas semasa serbuan dijalankan adalah pendrive, tong karbon monoksida, 17 beg pelbagai jenis dan jenama serta tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Selain itu, turut dirampas dua tong karbon monoksida, seunit pemacu pena (pendrive) dan sebuah komputer riba,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam laporan polis yang dibuat, Khuzaimi Piee mendakwa beliau bergerak ke pusat latihan pada pukul 2 petang dan apabila sampai ke rumah pada pukul 9 malam, pintu depan dan belakang rumah telah terbuka.

Setelah memeriksa keadaan rumah, beberapa barangan didapati hilang seperti motosikal jenis Yamaha Y15, beberapa beg silang pelnagai jenama dan juga pasport.

Dalam kenyataan sama, hasil tangkapan terhadap kedua-dua suspek tersebut membantu pihak polis menyelesaikan kes tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya, maka hendaklah juga dikenakan hukuman denda atau sebat,” tulisnya.

Insiden yang dialami oleh Khuzaimi Piee merupakan kejadian kedua melibatkan pemain skuad Gergasi Merah selepas penyerang sayap mereka, Faisal Halim mengalami serangan asid awal bulan Mei lalu.