Cerita mengenai warga Singapura yang melancong ke negara ini dan mengisi petrol yang sudah disubsidikan untuk rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Bagaimanapun, insiden terbaharu yang berlaku di Johor Bahru telah memperlihatkan lagi sikap degil sesetengah rakyat Singapura.

Dalam sebuah video tular di media sosial semalam dan dilaporkan oleh Kosmo!, pertengkaran telah berlaku diantara tiga lelaki. Dengan dua daripadanya dipercayai warga Singapura, dan seorang lelaki dipercayai penghantar makanan warga Malaysia.

Kejadian yang dilaporkan terjadi di Iskandar Puteri, Johor Bahru ini berlaku disebabkan oleh rasa tidak puas hati dua warga Singapura yang ditegur oleh penghantar makanan kerana mengisi petrol ke dalam tong.

Di dalam video tersebut, kelihatan pergaduhan mulut terjadi dengan penghantar makanan meminta pihak berkuasa yang berada di situ untuk menangkap dua warga Singapura yang mengisi minyak di dalam tong.

Sepanjang drama itu berlangsung, salah seorang warga Singapura yang marah terhadap penghantar makanan itu dengan keras meminta beliau memadam video tersebut.

Video ini berlangsung selama 1 minit dan 40 saat, dikongsi oleh pengguna TikTok @matkibol. Dalam tempoh yang singkat, ia telah pun mengumpul lebih 800,000 tontonan, menjadikannya topik hangat di kalangan komuniti media sosial.

Salah seorang daripada lelaki itu juga bertindak membuka bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum mengeluarkan disyaki sebatang pengunci streng dipercayai cuba melakukan provokasi kepada rider berkenaan.

Dua pegawai polis bantuan dilihat berada dalam video itu, cuba menenangkan keadaan. Mereka kemudiannya meminta kad pengenalan penunggang, di mana dua lelaki warga Singapura itu didakwa membuat satu lagi percubaan untuk menyerang penunggang itu.