Tular di media sosial pada pagi semalam mengenai seorang lelaki yang tekad untuk mencari pemilik wang kertas RM50 yang dipercayai memiliki nilai sentimental.
Wang kertas berkenaan dipercayai merupakan ‘hadiah’ terakhir dari bapa pemilik wang berkenaan sebelum dijemput Ilahi.
Baca Juga:
- Bapa Terkejut Anak Bawa Pulang Seguni Ang Pows Bernilai RM13,000 Hasil ‘Round’ Satu Kampung
- Didakwa Scam Duit Orang, Warga Emas Cuba Larikan Diri Selepas Diminta Pulangkan RM9,000
- Wang Kertas RM50 Edisi Khas Tahun 2007 Dijual Pada Harga RM708,000
“Duit last ayah bagi 11/5/20, al-Fatihah.” tulisan tangan yang tertera pada wang kertas RM50 terbabit.
Tulisan tersebut dipercayai telah ditulis pemilik asalnya dengan menggunakan pen dakwat berwarna hitam.
Hantaran tersebut telah dibuat oleh seorang individu dengan nama gelaran Tuan Lim di FB yang mana bersungguh-sungguh mahu mencari pemilik asal dan memulangkan semula wang kertas berkenaan ke tangan pemilik asalnya.
Perkongsiannya telah meraih rasa simpati dalam kalangan warga maya dan turut berharap agar pemilik wang itu dapat menemui wang kertas istimewanya semula.
Memetik Sinar Harian, individu bernama Azfarul Zainol Akmar telah mendapat duit itu ketika mengeluarkannya di mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Gambang dalam lingkungan 4.15 petang.
“Pada mulanya tidak sedar, apabila sampai di rumah ketika keluarkan duit, baru ternampak ayat pada wang kertas RM50 tersebut.
“Terus saya rasa terharu dan sedih bila terkenangkan mungkin pemilik duit ini terpaksa gunakan walaupun ia amat bermakna dan punya nilai sentimental, kenangan terakhir bersama ayahnya,” kata Azfarul ketika dihubungi Sinar Harian.
Pada ketika ini, pekerja swasta itu berharap agar pemilik wang berkenaan dapat ditemui kerana dirinya menyedari betapa bernilainya wang itu pada dirinya.
“Saya pun tidak akan guna duit ini selagi pemiliknya tidak ditemui, itu janji saya,” kata Azfarul dengan nada nekad.
Setakat ini, hantaran beliau sudah meraih perkongsian mencecah lebih 10K berserta sejumlah komentar yang mahu pemilik asal menjumpai semula hadiah yang cukup bermakna ini.