Pada 20 tahun lalu, sebahagian besar daripada kes jangkitan HIV di negara ini adalah disebabkan perkongsian jarum suntikan dadah.

Kini sudah tidak lagi apabila trend itu sudah berubah di mana jangkitan HIV menerusi hubungan seks menjadi punca utama direkodkan sejak beberapa tahun lalu.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Berdasarkan statistik jangkitan HIV yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 135,035 kes direkodkan bagi tempoh 1986 hingga 2023.

Daripada jumlah itu, 3,220 kes baharu jangkitan HIV direkodkan di seluruh negara pada 2023 dengan 95 peratus adalah menerusi transmisi seksual, manakala tiga peratus lagi membabitkan penagihan dadah dan dua peratus pula lain-lain faktor.

Kategori umur antara 20 hingga 29 tahun merekodkan jumlah tertinggi jangkitan baharu HIV iaitu sebanyak 44 peratus daripada jumlah berkenaan.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya berkata, statistik dikeluarkan KKM juga mendapati 62 peratus transmisi seksual berlaku dalam kalangan jantina sejenis, manakala 33 peratus lagi dalam kalangan heteroseksual.

“Berdasarkan statistik itu juga, kita dapati hampir 10 peratus daripada jangkitan baharu HIV berlaku dalam kalangan wanita yang mungkin dijangkiti melalui pasangan mereka.

“Amalan seks tidak selamat dan kurang pengetahuan mengenai risiko jangkitan adalah punca kepada peningkatan jangkitan HIV melalui seks.

“Mana-mana individu terbabit dalam perlakuan seksual berisiko tinggi yang mengabaikan langkah proaktif boleh mengakibatkan mereka dijangkiti HIV,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Zaiton berkata, sikap negatif terhadap HIV dan Aids serta stigma terhadap cara jangkitannya dalam kalangan masyarakat menyebabkan penularan penyakit itu semakin meningkat.

“Ini kerana golongan berisiko takut untuk tampil membuat ujian saringan HIV. Disebabkan itu, adalah penting bagi masyarakat bersikap terbuka untuk memahami secara tulus cara jangkitan dan cara pencegahan penyakit HIV dan Aids.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyampaikan maklumat kepada mereka dan memberi kesedaran mengenai cara jangkitan dan pencegahan untuk mengelakkan daripada dijangkiti,” katanya.

Malah, MAC dan MAF bergerak seiring dengan KKM untuk menjalankan pelbagai inisiatif bagi menangani penularan epidemik HIV dan mengurangkan impak negatif kepada masyarakat.