Dunia kini berada di hujung jari, dan sistem kutipan zakat tidak terkecuali daripada arus pemodenan ini. Evolusi bayaran zakat secara atas talian (*online*) diakui telah membawa revolusi besar dalam menawarkan kepantasan, ketelusan, dan kemudahan akses tanpa batas waktu.
Namun, di sebalik tabir kemajuan teknologi ini, muncul satu realiti yang kian meresahkan: nasib para amil tradisional.
Baru-baru ini, tular di media sosial luahan netizen yang membangkitkan isu penyusutan pendapatan golongan amil susulan peralihan drastik pembayar zakat ke platform digital.
Perkara ini menjadi sensasi apabila beberapa pengguna di aplikasi Threads berkongsi kisah mereka sendiri yang melihat bagaimana golongan amil yang berusia gigih menunggu pembayar zakat di kaunter secara fizikal.
“Area Mergong sapa nak bayar zakat fitrah tahun ni boleh bayar kat pakcik ni, tolong *reshare*. Ingat gaji depa ikut resit yang depa bukak,” kata seorang wanita.
Turut bersetuju dengan ciapan tersebut, seorang lelaki meluahkan rasa ralat kerana baru mengetahui bahawa amil yang mengutip zakat di kaunter sebenarnya mendapat upah mengikut jumlah resit kutipan yang diterimanya.
Malah, seorang netizen yang merangkap anak kepada amil zakat turut mendakwa kehadiran digitalisasi ini telah merencatkan kekerapan orang yang datang membayar secara bersemuka.
“Ayah saya pun amil, dia kata semenjak dah boleh bayar *online* memang kurang sangat orang datang bayar. Kesian dia hari-hari tunggu dekat masjid, tahun ni baru (habis) dua buku resit,” kongsinya.
Realiti Sistem Upah Amil
Secara asasnya, golongan amil adalah salah satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima bahagian daripada kutipan zakat, seperti yang termaktub dalam al-Quran (Surah At-Taubah, ayat 60).
Namun, di Malaysia, cara pengagihan upah ini berbeza mengikut kategori amil dan tertakluk kepada ketetapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Secara teknikalnya, pendapatan amil (khususnya amil fitrah) berkadar terus dengan jumlah kutipan yang berjaya diselaraskan.
Apabila kutipan fizikal merosot akibat peralihan ke sistem digital, ia secara tidak langsung menjejaskan agihan upah yang menjadi sandaran golongan ini untuk mengimbangi kos sara hidup mereka, terutamanya bagi petugas di peringkat kariah.
Buka Mata Masyarakat
Bagaimanapun, pendedahan ini telah membuka mata orang ramai untuk kembali tampil membuat pembayaran secara tradisional bagi membantu ekonomi amil yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas.
Menariknya, ada individu yang berkongsi pengalaman bahawa dia sering mendapat goodies (cenderahati) daripada amil apabila membuat pembayaran secara fizikal.
Dalam pada itu, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen mula menunjukkan minat untuk membuat pembayaran secara fizikal selepas ini kerana percaya ia bukan sahaja membantu golongan amil, malah menjadi asbab untuk beramah mesra dengan ahli kariah di kawasan setempat.