Dyson Ltd, jenama terkenal untuk peralatan rumah premium seperti pengering rambut dan pembersih vakum, dilaporkan sedang mengurangkan operasi di Malaysia, lapor Bloomberg.

Perubahan ini berlaku di tengah-tengah usaha syarikat itu untuk menstruktur semula perniagaannya di rantau ini.

Menurut sumber yang enggan dikenali, Dyson sedang merangka langkah untuk memperkemaskan operasi di Johor, Malaysia.

Kira-kira 47 kakitangan daripada kemudahan pembuatan canggih di Senai akan dipindahkan ke kampus pembangunan global syarikat itu di Johor, yang ketika ini menggaji 1,400 orang.

Walaupun begitu, syarikat itu menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai hab global kedua terbesar untuk Dyson.

Menurut kenyataan rasmi Dyson, makmal dan fasiliti di Johor adalah “penting untuk pembangunan dan ujian teknologi masa depan” mereka.

Namun, sumber turut mendedahkan bahawa Dyson berada dalam peringkat awal perbincangan untuk menyemak semula kehadirannya di Malaysia.

Walaupun keputusan akhir belum dibuat, kemungkinan pengurangan operasi lebih besar tidak boleh diketepikan.

Hubungan antara Dyson dan kerajaan Malaysia didakwa tegang akibat kontroversi buruh yang bermula pada 2019.

Aktivis hak asasi manusia, Andy Hall, pernah menuduh pembekal utama Dyson di Malaysia, ATA IMS Bhd, melanggar hak pekerja migran.

Pada 2021, pihak berkuasa AS turut membuka siasatan ke atas ATA.

Ini menyebabkan Dyson memutuskan hubungan dengan pembekal itu, walaupun ATA menafikan sebarang salah laku.

Dyson juga menafikan terlibat atau mengetahui sebarang pelanggaran hak pekerja.

Kes ini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana syarikat global seperti Dyson memastikan pembekal mereka mematuhi standard hak asasi manusia.

Dyson mengumumkan rancangan pelaburan sebanyak S$1.5 bilion (RM4.99 bilion) di Singapura sehingga 2026, selepas memindahkan ibu pejabat globalnya ke republik itu pada 2022.

Langkah ini dilihat strategik kepada pasaran Asia Pasifik, yang kini menyumbang lebih separuh daripada jualannya.

Namun, syarikat itu juga menghadapi kritikan di Singapura selepas pemberhentian pekerja secara mendadak baru-baru ini, yang mengundang reaksi negatif daripada kesatuan sekerja.