Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi telah mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari.

Pencapaian hebat itu juga telah memecahkan rekod kutipan filem pertamanya sekali gus turut menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat.

Baca Juga:

Lebih membanggakan, EATM2 juga berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada bulan Mei 2025 seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch.

Rekod Hebat Ejen Ali The Movie 2

Kejayaan EATM2 ini membuktikan kehebatan karya tempatan yang menerima saingan sengit di layar perak. Setakat ini, lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2.

Ejen Ali The Movie 2

Pencapaian memberangsangkan ini dipacu oleh kehadiran luar biasa penonton di pawagam, menjadikan EATM2 sebagai filem pilihan utama seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu.

Ramai penonton berkongsi bahawa mereka telah menonton filem ini lebih daripada sekali, dan teruja mengajak ahli keluarga lain untuk turut serta menjadikannya aktiviti beriadah bersama di musim cuti!

Kejayaan ini turut mencerminkan perkembangan positif dalam penerimaan filem animasi tempatan yang dilihat semakin mendapat tempat di hati khalayak umum.

 

Pengarah filem, Encik Usamah Zaid Yasin berkata, “Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa.”

“Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali.”

“Buat para ejen yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong Ejen Ali The Movie 2 di pawagam,” tambah Usamah Zaid lagi.

Ejen Ali The Movie 2 

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios turut berkongsi rasa syukur terhadap rekod baharu yang dicapai.

“Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2.”

“Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan.”

“Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali.”