Masih lagi dalam keadaan trauma, ejen kosmetik yang menjadi kes mangsa culik menyatakan dia tidak mengingati secara jelas kronologi penculikannya, namun tahu ditempatkan di sebuah rumah seakan di sebuah kampung di Laos selepas menempuh perjalanan panjang dari Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Hari ini Rosnazirah atau lebih dikenali sebagai Azi telah ‘membuka mulut’ ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk bertanya khabarnya.
Baca Juga:
- Ejen Kosmetik Diculik Berjaya Diselamatkan Hasil Kerjasama Cekap PDRM Dan Polis Thailand
- Perselisihan Ahli Sindiket Dadah Dikatakan Jadi Punca Ejen Kosmetik Diculik
- Ejen Produk Kosmetik Diculik Tiga Lelaki Bersenjata
“Ketika tiba di tebing Sungai Golok pada hari kejadian (diculik) untuk menaiki bot, ada beberapa saksi di sekitar tapi mungkin mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku atau tidak ingin masuk campur kerana takut.
“Sebaik menyeberangi Sungai Golok, saya dibawa menaiki kereta dan terus menuju ke destinasi yang tidak diketahui, tapi menempuh perjalanan yang lama sehinggalah tiba di sebuah rumah di Laos.
“Sepanjang ditahan, setiap hari saya menangis dan bertanya bila akan dikembalikan kerana saya difahamkan mereka tidak meminta wang tebusan, malah tidak tahu apa motifnya,” katanya.
Memetik laporan Harian Metro, sepanjang perjalanan dari Thailand untuk memasuki Laos, mereka menempuh banyak sekatan jalan raya dan hatinya berdoa agar ditahan di mana-mana lokasi tetapi tidak berlaku sehinggalah mereka tiba di destinasi.
Sepanjang ditahan, Rosnazirah berkata, dia menerima layanan baik daripada kumpulan individu yang menculiknya termasuk menjaga makan minumnya, namun dalam masa yang sama berasa bimbang jika diapa-apakan.
Setiap kali ditanya bila akan dihantar pulang, lelaki itu memberi jaminan akan berbuat demikian sambil memintanya bersabar selain memberi tempoh antara tiga minggu hingga sebulan kerana keadaan masih ‘panas’ disebabkan berita mengenai penculikannya tersebar luas.
“You back home“, kata seorang daripada penculik.
Apabila Azi bertanya bila, lelaki berkenaan menyatakan “Today“.
Menurut Azi, mereka menaiki kereta menuju ke Bangkok dan ditahan oleh pihak imigresen (Thailand) sebelum anggotanya perasan wajahnya yang tersebar berhubung kes penculikan menyebabkan mereka semua ditahan dan Azi dibawa ke depot tahanan imigresen.
Tidak lama kemudian Azi dibawa ke Kedutaan Malaysia di Thailand dan selepas itu dia dapat berhubung dengan keluarga dan proses membawa pulang ke negara ini segera dibuat.
“Setiap hari ketika dalam tahanan saya berdoa agar segera dikembalikan kepada keluarga dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan,” kata Rosnazirah Mohd Naim.