Antara satu tarikan pada bulan ini sudah semestinya bazar Ramadan kerana menjual pelbagai aneka makanan dan minuman. Namun, pada kali ini keadaan sedikit berbeza apabila orang ramai semakin berwaspada dalam pembelanjaan mereka.

Menurut laporan Berita Harian, peniaga bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga jualan atas alasan kos bahan mentah yang semakin mahal. Berdasarkan tinjauan terbaharu memperlihatkan peningkatan harga sekitar RM1 – RM2 bagi setiap juadah yang dijual.

Baca Juga:

Bagaimanapun, netizen mula mempersoalkan sentimen harga yang sering dimainkan oleh peniaga apabila menjelang bulan Ramadan. Bagi mereka, bukan semua harga bahan mentah naik, malahan ada yang turun namun harga jualan tetap dinaikkan pada setiap tahun.

Sumber Gambar: X berita harian

Malah, netizen juga merasakan tidak berbaloi untuk membeli juadah di bazar Ramadan kerana kualiti tidak setanding dengan harga yang dikenakan. Ramai mendakwa peniaga hanya mahu mengambil kesempatan demi meraih keuntungan besar.

Sumber Gambar: X berita harian

Dalam pada itu, ada juga seorang netizen yang mendedahkan ahli keluarganya masih mampu menjual pada harga mampu milik di bazar Ramadan seperti biasa. Dia juga berpendapat peniaga tidak perlu menggunakan alasan harga barang meningkat walhal hanya mahu ‘mengetuk’ harga terhadap pelanggan.

Susulan itu, netizen mendedahkan bahawa mereka terpaksa memboikot bazar Ramadan pada tahun ini kerana harga semakin mahal. Selain itu, mereka berkongsi kini lebih selesa memasak juadah sendiri dan membelanjakan wang untuk perkara yang lebih penting.

Konklusinya, keputusan membeli di bazar Ramadan kembali kepada individu itu sendiri sama ada ia tidak kisah untuk berbelanja lebih atau mahu berjimat dengan memasak juadah sendiri.

Bagaimanapun, peniaga diingatkan untuk menawarkan kualiti juadah setanding dengan harga, barulah berbaloi untuk dibeli.