Bagi penduduk setempat sekitar Johor Bahru, sudah pasti tidak asing lagi melihat kereta Toyota Supra yang diletakkan di atas sebuah bangunan.
Setelah sekian lama orang ramai melihatnya dari jauh, akhirnya ada ‘hero’ yang menunjukkan kereta ikonik itu dengan lebih dekat buat tatapan ramai.
Beliau memuat naik satu video eksklusif yang memperlihatkan kereta tersebut dengan lebih dekat lagi.
Hero tersebut merupakan jurujual kereta untuk Mutiara Motors, syarikat yang terkenal pengimport dan pengedar pelbagai jenis kenderaan.
Menerusi perkongsian TikTok @fadzil_m7, tiada lagi orang yang meletakkan kereta Toyota Supra di atas bangunan, melainkan Mutiara Motors setakat ini.
Kereta itu diletakkan oleh pemilik perniagaan berkenaan. Difahamkan terdapat sebuah lagi kereta model sama diletakkan di bangunan lain.
Kereta tahun 1995 itu tidak pernah didaftarkan lagi. Walaupun sudah berusia 30 tahun, kereta berwarna hijau itu masih lagi dalam keadaan baik dan nampak cantik. Ia juga mempunyai sportrim BBS, serta tayar jenama Firestone.


Netizen rasa terharu, berterima kasih dapat tengok Toyota Supra ikonik itu lebih dekat
Ruangan komen video yang tular itu juga meraih ribuan komen daripada warganet.
Rata-rata berasa terharu dan berterima kasih kepada TikTok @fadzil_m7 kerana berkongsi pandangan lebih dekat kereta Toyota Supra tersebut.
“Dah 34 tahun hidup di Johor, hari-hari ulang-alik lalu depan ini, ini kali pertama tengok dengan jelas. Biasa tengok dari jauh saja,” – TikTok @mohamadzarehan
“Abang terima kasih bagi review dekat-dekat. Saya dari kecil lalu dekat bangunan ini mesti dongak-dongak kepala tengok. Teriam kasih abang, saya menangis ini abang,” – TikTok @cajajekla
“Kereta ini saya tengok dari kecil, lepas itu fikir — “<acam mana kereta itu boleh ada dekat atas? Itu kereta betul ke?” — Macam-macam persoalan bermain di fikiran. Akhirnya terjawab selepas 10 tahun,” – TikTok @umairmashamir02
“Landmark lebuh raya Tebrau ni. Anak-anak saya sejak kecil teruja bila nampak ‘kereta atas bumbung’ ini. Itu kira-kira 10-15 tahun dulu,” – TikTok @TikTok @iamzade6971

Menerusi video itu juga, dipercayai ia merupakan kesinambungan kepada satu video tular yang menunjukkan kereta ikonik berwarna hijau itu sedang dibersihkan.
Video pendek itu dirakam oleh salah seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.