Malaysia akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti ‘electronic Know Your Customer’ (eKYC) bagi memastikan pengguna berusia bawah 13 tahun tidak mempunyai akaun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak dalam talian serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan dipatuhi dengan sewajarnya, petik Bernama.

Baca Juga:

“Ketika saya bertemu dengan wakil daripada platform media sosial bulan lalu, saya telah menjelaskan bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti, khususnya bagi mengelakkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun.

“Saya akan membentangkan garis masa pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri sebelum membuat pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘NADI (National Information Dissemination Centre) on Wheels’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin baru-baru ini.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan mesyuarat dengan syarikat-syarikat media sosial minggu depan bagi membincangkan langkah segera ke arah pelaksanaan keperluan tersebut.

Selain perlindungan kanak-kanak, beliau berkata pelaksanaan eKYC juga penting bagi membendung penipuan dalam talian serta kandungan berbahaya seperti perjudian dan iklan palsu.

“Banyak platform telah disalahgunakan oleh penjenayah untuk kegiatan penipuan. Seperti yang saya nyatakan di Parlimen semalam, 78 peratus daripada semua kandungan berkaitan penipuan yang telah diturunkan berasal daripada Facebook,” katanya.

Sumber