Aktiviti mendaki gunung kini bukan lagi sekadar hobi untuk kesihatan, malah telah bertukar menjadi antara trend paling tular di platform media sosial.

Namun, di sebalik keindahan gambar dan video yang dimuat naik, timbul peningkatan ketara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Bagi menangani isu ini, pihak berkuasa Malaysia mengambil langkah tegas dengan memperkenalkan peraturan baharu bagi memastikan keselamatan para pendaki.

Menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), kerajaan kini mewajibkan penggunaan perkhidmatan malim gunung (mountain guide) di 189 lokasi berisiko tinggi di seluruh negara. Selain itu, prosedur saringan kesihatan pra-pendakian yang lebih ketat turut diperkenalkan.

Nyawa dan Keselamatan Jadi Keutamaan

Timbalan Menteri NRES, Syed Ibrahim Syed Noh, menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan risiko pendaki daripada tersesat dan mengelakkan kecederaan serius yang boleh meragut nyawa.

“Keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan risiko pendaki daripada tersesat dan mencegah kemalangan, sekali gus meminimumkan keperluan operasi SAR yang memerlukan sumber kewangan dan tenaga kerja yang besar,” kata Syed Ibrahim.

Beliau turut menjelaskan bahawa saringan pra-pendakian kini tidak lagi boleh dipandang remeh kerana ia merangkumi beberapa syarat wajib.

“Langkah-langkah baharu ini merangkumi pengisytiharan kesihatan, semakan sejarah perubatan, serta perlindungan insurans wajib.

“Ini membolehkan pendaki berisiko tinggi dikenal pasti lebih awal sebelum dibenarkan mendaki. Pendekatan kami bertujuan mencegah insiden sebelum ia berlaku dengan mengurangkan risiko keletihan melampau, disorientasi, dan kecemasan lain,” tambah beliau.

Bahaya Trend ‘Compressed Hike’

Langkah pengetatan ini juga diambil susulan insiden menyedihkan di Perak tahun lalu yang mengorbankan seorang pendaki berusia 34 tahun.

Ekoran kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Perhutanan Negeri Perak bertindak menghadkan aktiviti compressed hike iaitu amalan menamatkan laluan pendakian dalam tempoh yang jauh lebih singkat berbanding jadual asal.

Malim Gunung Perhutanan Perak, Muzafar Mohamad, menjelaskan bahawa trend pendakian ekspres ini membawa risiko yang amat tinggi dan memerlukan disiplin yang sangat ketat.

“Trend pendakian berdurasi singkat yang semakin popular ini memerlukan perancangan yang jauh lebih teliti kerana tempoh perjalanan dipendekkan sehingga satu pertiga daripada jadual asal,” kata Muzafar.

> “Apabila masa mendaki dikurangkan, jurang kesilapan (margin for error) menjadi semakin kecil. Atas sebab itulah perancangan logistik, tahap kecergasan fizikal, dan pengurusan risiko perlu dilaksanakan dengan lebih terperinci,” tegas beliau.

Terpaling ‘Content’, Abaikan Keselamatan

Selain isu masa, tekanan untuk kelihatan hebat di media sosial turut menjadi punca utama fenomena ini. Sesetengah pendaki dikesan membawa peralatan yang terlalu minimal semata-mata mahu kelihatan seperti pelari trek profesional (trail runner) dalam kandungan digital mereka.

Isu ini turut diakui oleh malim gunung, Norimah Abd Karim, yang meluahkan kebimbangannya terhadap sikap sebahagian pendaki masa kini.

“Terdapat pendaki yang lebih berfokus untuk mendapatkan kandungan (content) menarik sehingga sanggup mengambil risiko dan mengabaikan keselamatan diri sendiri,” ujar Norimah.

Cabaran Hutan Tropika Malaysia

Secara geografinya, kira-kira separuh daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia dilitupi oleh hutan hujan tropika. Suhu yang tinggi, kelembapan melampau, serta kelebatan tumbuh-tumbuhan menjadikan laluan pendakian mudah menyebabkan pendaki terpesong jika tersilap langkah.

Malaysia sememangnya kaya dengan laluan mendaki ikonik—daripada cabaran fizikal menawan puncak Gunung Kinabalu (4,095 meter) di Sabah, ekspedisi seminggu di Gunung Tahan (2,187 meter), sehinggalah laluan santai di kawasan bandar seperti Bukit Pulau Pinang atau Taman Eko Rimba KL.

Namun, tidak kira sejauh mana mudah atau sukarnya sesuatu laluan, pelaksanaan peraturan baharu oleh NRES ini diharapkan dapat mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab.

Mendaki bukan sekadar tentang mengejar puncak atau jumlah likes di media sosial, tetapi tentang menghormati alam dan memastikan diri pulang dengan selamat.

Sumber