Ramai individu yang lantang menyuarakan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin kerana tahap kekejaman dan penderitaan yang disaksikan baru-baru ini di Gaza telah mencapai skala yang tidak pernah terjadi sebelum ini dalam sejarah konflik Palestin-Israel.
Salah satu cara untuk menyebarkan kesedaran adalah dengan memuat naik di media sosial peribadi di dalam kehidupan seharian.
Namun begitu, seorang ejen hartanah berkongsi yang diriny ditegur oleh seorang pelanggan susulan berbuat perkara sedemikian.
Menurut pengguna @norshaali, dia sedang berunding untuk urusan pembelian rumah namun mendapati pelanggan tersebut membatalkan urus niaga kerana ejen itu kerap membuat hantaran (post) mengenai Palestin.
Di dalam tangkap layar mesej itu, pelanggan itu pada mulanya berminat untuk membuat pembelian namun membatalkan hasratnya susulan kelantangan perempuan itu dalam perihal negara Palestin.
Pelanggan itu siap memberi pesanan berbunyi ” Maaf untuk cakap, tetapi jika awak nak jadi seorang jurujual, minta elakkan membuat hantaran berkaitan isu negara lain di media sosial anda. Bukan semua mempunyai pendirian yang sama”.
Sebagai tindak balas, ejen tersebut tidak berdiam diri, sebaliknya melaungkan ‘Free Palestine’ sebelum menyekat pelanggan yang membatalkan urusan itu.

Individu tersebut menjelaskan bahawa perkongsiannya mengenai Palestin dilakukan melalui akaun media sosial peribadi, dan tiada kaitan dengan akaun bisnesnya.
Beliau berpendapat pelanggan tersebut tiada hak untuk mengawal kandungan peribadinya. Individu itu juga menegaskan bahawa dia tidak pernah cuba mendesak pelanggan tersebut untuk menyokong Palestin.
Tegasnya lagi, pendiriannya mengenai Palestin adalah atas dasar kemanusiaan, dan tiada kena mengena dengan agama atau bangsa.
Oleh itu, meskipun telah ditegur dan berdepan dengan pembatalan urusan, tindakan tersebut tidak akan sama sekali menghalangnya untuk terus bersuara dan membuat perkongsian mengenai isu Palestin.
Ramai mula menunding jari kepada bangsa tertentu kerana tidak suka perihal itu namun ejen hartanah itu mendakwa ia merupakan seorang wanita berbangsa Melayu dan bertudung yang membuat teguran tersebut.