Warga ibu kota dan pengunjung yang merancang untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur dalam masa terdekat perlu mengambil maklum tentang beberapa penutupan jalan utama.

Penutupan jalan ini dilaksanakan secara berperingkat dari 21 hingga 27 Julai bagi memberi laluan kepada penganjuran acara Citrawarna 2026.

Sebagai makluman, Citrawarna merupakan antara perayaan kebudayaan terbesar di Malaysia dan ia dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen Melawat Malaysia 2026.

Acara ini akan berlangsung di Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 Julai, di mana ia bakal mempamerkan kepelbagaian seni, budaya, warisan, dan makanan Malaysia, serta diwarnai dengan pelbagai persembahan, pameran, dan perarakan Colours of Parade.

Jalan Raja Ditutup Sepenuhnya Bermula 21 Julai Ini

Penutupan jalan yang paling besar akan melibatkan Jalan Raja, iaitu jalan yang terletak betul-betul di hadapan Dataran Merdeka.

Jalan ini akan ditutup sepenuhnya bermula dari jam 12 tengah hari pada hari Selasa, 21 Julai sehinggalah jam 5 pagi pada hari Isnin, 27 Julai.

Penutupan tempoh panjang ini amat penting bagi membolehkan pihak penganjur melakukan persiapan acara, melancarkan operasi, serta menjalankan kerja-kerja pemasangan infrastruktur dengan selamat.

Sesi Raptai & Perarakan Utama: Ini Senarai Jalan Yang Anda Wajib Elak

Selain itu, beberapa penutupan jalan tambahan juga akan dikuatkuasakan secara khusus bagi acara kemuncak Citrawarna 2026 iaitu perarakan Colours of Parade.

Bagi sesi raptai, laluan akan ditutup pada hari Jumaat, 24 Julai dari jam 9 malam hingga 2 pagi.

Untuk hari perarakan utama pula, penutupan akan bermula pada hari Sabtu, 25 Julai dari jam 6 petang sehingga 11 malam.

Antara jalan-jalan yang akan terjejas dengan penutupan ini termasuklah kawasan dari Bulatan Dato’ Onn menghala ke Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, serta laluan akses dari Jalan Kinabalu menuju ke Jalan Sultan Hishamuddin. Walau bagaimanapun, lorong kecemasan akan kekal dibuka dan boleh diakses sepanjang tempoh penutupan berlangsung.

Bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mengurangkan kesesakan, penganjur sangat menyarankan orang ramai supaya mengelak daripada memasuki kawasan tersebut dalam tempoh masa yang dinyatakan dan menggunakan laluan alternatif jika boleh.

Lebih Baik Naik Pengangkutan Awam

Pendekatan paling mudah sekiranya anda ingin menuju ke Dataran Merdeka adalah dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Sekiranya anda masih perlu memandu ke pusat bandar, pastikan anda merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan lencongan lalu lintas yang disediakan, dan memperuntukkan masa perjalanan tambahan.

Grab Sedia 3,000 Baucar E-Hailing Percuma Sepanjang Acara

Sebagai inisiatif untuk memudahkan pergerakan pengunjung, Grab ada menawarkan tawaran istimewa berupa baucar e-hailing bernilai RM3 yang terhad kepada 1,000 pengguna pertama setiap hari sepanjang penganjuran acara, bermula 24 hingga 26 Julai.

Secara keseluruhannya, sebanyak 3,000 baucar dengan nilai terkumpul RM9,000 telah disediakan. Kod promosi beserta butiran lanjut mengenai cara penebusan akan dimaklumkan kelak melalui saluran media sosial rasmi pihak penganjur. Diharapkan maklumat ini dapat membantu anda merancang perjalanan dengan lebih baik untuk menikmati kemeriahan festival tanpa sebarang kesulitan.

Sumber