Pada 2 Januari nanti, Pangkalan Data Utama (PADU) akan dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akses dibuka kepada orang ramai mulai tarikh itu untuk kemas kini sehingga 31 Mac 2024.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengemas kini maklumat, petik Buletin TV3.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Bagaiamanapun mereka terbabit berisiko untuk tercicir daripada menerima subsidi bersasar yang akan menggunakan data dikemas kini dalam PADU kelak.

Menurutnya, risiko keciciran boleh berlaku memandangkan kerajaan hanya menggunakan maklumat sedia ada dan maklumat yang dikemas kini dalam PADU untuk menentukan profil isi rumah dan kelayakan bagi mereka yang layak untuk mendapatkan subsidi bersasar atau sebaliknya.

“Mengikut mandatnya (PADU) adalah menyediakan profil isi rumah paling tepat bagi penyasaran semula subsidi.

“Jika tidak kemas kini (data) tiada masalah, tetapi kalau anda tidak dapat (subsidi) jangan marahlah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Difahamkan, orang ramai akan boleh mula mengemas kini data masing-masing dalam tempoh itu di lokasi tertentu.

Beliau berkata, PADU adalah komponen utama kepada rancangan besar penstrukturan ekonomi kerajaan dan ia adalah pangkalan data utama yang akan mempunyai profil setiap individu dan isi rumah yang akan menjadi rujukan dalam penentuan penyasaran semula subsidi atau bantuan lain pada masa depan.

Data dalam PADU yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Negara merangkumi hampir 300 jenis data di bawah Kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, katanya, data di bawah kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan dimasukkan beransur-ansur.

Mengenai pengurusan data dalam PADU, Rafizi berkata walaupun semua agensi menyumbang data, bukan semua agensi boleh ambil semua data untuk kegunaan sendiri.

“Pemilikan data masih dikawal oleh akta jabatan atau agensi kerajaan masing-masing. Bagaimana untuk berkongsi data antara agensi akan ditentukan kerajaan mengikut matlamat penggunaan. Kes penggunaan pertama hanyalah penyasaran subsidi.

“Justeru, tidak ada persoalan mengenai data ini dikongsikan dengan mana-mana pihak kerana ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Rafizi juga menyatakan sistem PADU tidak diintegrasikan dengan maklumat institusi kewangan ekoran termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Bank ada Akta Perkhidmatan Kewangan yang tidak membenarkan sebarang perkongsian.

“Jadi kalau orang tanya PADU boleh tahu berapa banyak simpanan (dalam akaun), jawapannya tidak,” katanya.

Dalam pada itu, sempena pelancaran PADU minggu depan itu, 3,000 orang yang terawal mendaftar dan mengemas kini data di PADU akan terima kad NFC Touch ‘n Go secara percuma.

Malah, katanya, pasar raya Mydin juga menawarkan diskaun kepada mereka yang mendaftar di PADU.