Satu tragedi menyayat hati telah terjadi semalam apabila tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu oleh wanita tidak siuman.

Difahamkan kemalangan itu berlaku berhampiran pintu masuk kampus universiti awam tersebut sekitar 7.30 malam. Mangsa ketika itu baru pulang daripada makan malam.

Baca Juga:

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi masing-masing berusia 20 tahun manakala Mohd. Akmal Tukirin pula berumur 25 tahun.

Seorang lagi mangsa berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Amar Danish Mohd Ridwan cedera parah dan sedang dirawat di hospital.

Menurut laporan Sinar Harian, empat pelajar menunggang dua buah motosikal dirempuh sebuah SUV jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba SUV tersebut telah merempuh bahagian belakang dua motosikal yang berada di laluan sama.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher, cedera di kepala dan dada serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan.

Wanita tersebut telah ditahan oleh pihak polis dan para netizen mula membongkar pelbagai kisah seram serta videonya ketika sedang menari dipercayai mengalami masalah mental.

Sementara itu, berdasarkan satu posting di media sosial memaklumkan salah seorang daripada mangsa meninggal ketika kedua-dua ibu bapa dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah.