Pemain tengah skuad negara, Endrick dos Santos memberikan sokongan penuh kepada penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli yang sebelum ini dikritik hebat susulan kesilapan dilakukannya ketika bertemu Thailand.
Malaysia berpeluang untuk membawa pulang satu mata dari Kota Bangkok pada aksi ketiga Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, namun ketenangan Haziq dalam kawasan sendiri dihukum tuan rumah untuk menghadiahkan kemenangan buat Thailand.
Baca Juga:
- Piala ASEAN 2024: Kesilapan Mudah Penjaga Gol Malaysia Bantu Thailand Menang 1-0
- Piala ASEAN 2024: Shin Tae-Yong Malu Lihat Aksi Anak Buahnya
- Piala ASEAN 2024: Malaysia Hampir Dimalukan, Catat Kemenangan Tipis 3-2 Ke Atas Timor-Leste
Keadaan yang menyebabkan penjaga gol pinjaman Perak itu telah menerima pelbagai kritikan peminat bola sepak tanah air.
Namun, Endrick tetap melihat Haziq sebagai seorang penjaga gol yang berkualiti dan tetap memberikan sokongan padu buat rakan sepasukannya itu.
“Kami tahu dia seorang penjaga gawang yang hebat. Kami tetap yakin dengan kemampuannya,” ujar Endrick menurut sumber laporan Bernama.
“Kesilapan boleh berlaku kepada saya dan semua pemain lain. Jika jurulatih memilihnya [untuk diturunkan bertemu Singapura], saya percaya dia mampu untuk beraksi.”
Dalam perkembangan lain mengenai skuad negara, Endrick turut meluahkan keyakinan Malaysia mampu untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir.
“Saya rasa kami ada peluang cerah [menewaskan Singapura] apatah lagi beraksi di laman sendiri. Jadi, kami perlukan sokongan peminat.”
Malaysia kendalian Pau Marti Vicente itu wajib menang ke atas Singapura pada perlawanan jam 9.00 malam esok untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir sekali gus mengulangi pencapaian edisi lalu.