Georgia mencuri tumpuan pada aksi Euro 2024 apabila menewaskan pasukan pilihan, Portugal 2024 dan juga cipta sejarah mara ke pusingan 16 pada penampilan pertama mereka di kejohanan ini.

Ia adalah kemenangan terhebat dalam sejarah bola sepak negara itu hasil jaringan Khvicha Kvaratskhelia pada minit kedua dan sepakan penalti Georges Mikautadze minit ke-57.

Baca Juga:

Ini juga merupakan kekalahan pertama Portugal sejak Piala Dunia 2022 dan mereka juga gagal menjaringkan gol menentang pasukan di ranking 74 dunia itu.

Pasukan kendalian Willy Sagnol mara daripada Kumpulan F sebagai antara empat pasukan tempat ketiga terbaik dan mereka dijadualkan bertemu satu lagi pasukan pilihan, Sepanyol pada Ahad ini.

Sagnol menambah, dia masih tidak percaya pasukan kerdil yang dibimbingnya mampu menewaskan juara 2016, Portugal dan mara ke pusingan kalah mati.

“Masih sukar untuk mempercayai apa yang sudah kami lakukan. Sukar untuk saya menggambarkannya dengan kata-kata.

“Saya sangat bangga dengan pemain selepas apa yang mereka tunjukkan mengenai Georgia hari ini… Saya berasa sangat bangga menjadi jurulatih mereka,” kata Sagnol.

Walaupun tewas, Portugal layak ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan dan ketua jurulatih, Roberto Martinez mengakui Georgia beraksi lebih baik kali ini.

“Intensiti kami rendah. Kami melepaskan gol awal yang diperlukan Georgia dan selepas itu kami serba tak menjadi dari segi hantaran dan penyudah,” kata Martinez kepada wartawan.

“Kami cuba menjaringkan gol tetapi gagal yang menaikkan lagi semangat Georgia dan akhirnya mereka memang berhak menang.”

Portugal akan menentang Slovenia pada peringkat 16 terakhir pada hari Selasa ini. Mereka dijangka tidak mempunyai masalah untuk menempah tiket ke suku akhir.