Jerman memulakan saingan Euro 2024 dengan penuh bergaya selepas berjaya membelasah Scotland 5-1 pada aksi pembukaan yang berlangsung di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri jelas meningkatkan moral barisan pemain skuad kendalian Julian Nagelsmann itu.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan apabila mereka hanya memerlukan 10 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap, Florian Wirtz.

Mendapat umpanan lintang daripada Joshua Kimmich, tonggak utama Bayer Leverkusen itu melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Scotland, Angus Gunn.

Sembilan minit kemudian, Jamal Musiala menjadikan kedudukan 2-0 selepas beliau meledakkan rembatan padu dalam kawasan penalti.

Kai Havertz turut meletakkan nama selaku penjaring ketika aksi memasuki masa kecederaan babak pertama dengan menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan penalti itu diberikan selepas Ryan Porteous mengasari Ilkay Gundogan yang turut menyaksikan beliau dilayangkan kad merah selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Allianz Arena terus bergema dengan sorakan penyokong Jerman berikutan jaringan keempat dihasilkan oleh Niclas Fullkrug pada minit ke-68.

Scotland mendapatkan jaringan saguhati hasil kesilapan pertahanan Jerman, Antonio Rudiger yang tertanduk bola ke gawangnya sendiri pada minit ke-87.

Emre Can memastikan kemenangan 5-1 memihak Jerman hasil jaringannya pada masa kecederaan.

Satu lagi aksi dalam saingan kumpulan A akan berlangsung pada 9.00 malam ini yang menemukan Hungary dan Switzerland di RheinEnergieStadion.