Satu kejadian lucu berlaku apabila seorang penyokong England didapati tertidur selama beberapa jam selepas tamat perlawanan Euro 2024 membabitkan pasukan kegemarannya menentang Serbia.

Beliau sempat merakam satu video dan terkejut apabila mendapati stadium sudah kosong serta menyedari ianya sudah pukul 4 pagi.

Baca Juga:

“Saya baru sahaja terbangun. Sekarang pukul empat pagi,” kata peminat yang tidak dikenali itu.

Dalam video itu juga menunjukkan barisan tempat duduk kosong di belakangnya di stadium di Gelsenkirchen di mana England menang 1-0 dalam perlawanan pembukaan.

Video itu menjadi viral dengan ditonton ratusan ribu kali, mencetuskan rasa lucu di kalangan penyokong England lain, walaupun ada yang mempersoalkan bagaimana pihak keselamatan tidak menyedari penyokong yang tertidur itu dan juga lampu di venue berkenaan masih menyala pada awal pagi.

“Inilah yang berlaku apabila anda menonton bola ‘Sleepy Southgate’!” gurau seorang penyokong England merujuk kepada prestasi separuh masa kedua pasukan bimbingan jurulatih Gareth Southgate yang kurang memuaskan.

Southgate turut melakar dua pencapaian tersendiri sebagai pengendali England selepas menewaskan Serbia 1-0 pada aksi pembukaan Euro 2024, kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan England mendahului Kumpulan C selepas satu perlawanan.

Ia turut memastikan Southgate berjaya memintas dua legenda England bagi rekod jumlah perlawanan terbanyak sepanjang zaman.

Southgate kini sudah mengendalikan 96 perlawanan buat England dan pencapaian itu memintas Sir Bobby Robson yang mengendalikan 95 perlawanan.