Jurulatih England, Gareth Southgate yakin pasukannya akan mara lebih jauh walaupun berdepan pelbagai kritikan susulan prestasi yang kurang memuaskan sepanjang kempen Euro 2024.

Mereka menampilkan satu lagi persembahan mengecewakan dan nyaris tersingkir ketika menentang Slovakia di pusingan 16.

Baca Juga:

Namun, jaringan akrobatik Jude Bellingham pada minit akhir dan tandukan Harry Kane awal pada awal masa tambahan berjaya menyelamatkan The Three Lions sekaligus menempah tiket ke suku akhir Euro 2024 menentang Switzerland pada hari ahad ini.

“Saya boleh bayangkan bagaimana reaksi semua orang biarpun kami menang, tetapi kami masih di sini,” kata Southgate.

“Kami mahu menjadi lebih baik, saya tidak boleh menafikannya. Tetapi semua orang dapat lihat semangat dan perwatakan yang ditunjukkan pemain,” tambahnya.

Antara kunci kemenangan England ialah kerjasama berpasukan termasuk pemain gantian yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik

Southgate membandingkan prestasi pemain gantiannya dengan kempen Piala Dunia 1966 England ketika Geoff Hurst tidak bermain sehingga suku akhir tetapi menjaringkan hatrik dalam kemenangan mereka menentang Jerman Barat di final, video yang ditunjukkan kepada pemain England sebelum perlawanan Ahad.

“Sepanjang masa pemain yang masuk ke dalam permainan memberikan impak yang besar,” kata Southgate tentang pemain gantiannya.

“Semua pemain yang masuk memainkan peranan penting sama ada dalam mencipta gol, menstabilkan permainan.

“Itulah semangat yang mereka ada dan mereka menunjukkannya dan itulah yang membuatkan kami berjaya hari ini.” jelasnya.

England akan menghadapi ujian lebih sukar di suku akhir apabila dijadual menentang Switzerland yang menyingkirkan juara bertahan, Itali, 2-0.

“Saya rasa perlawanan menentang Switzerland akan memberikan masalah taktikal yang berbeza sepenuhnya, sama sukar dan kompleks,” kata Southgate.

“Dan kemudian penyelesaian yang berbeza untuk diselesaikan.”