Switzerland memastikan Itali pulang dengan lebih awal dalam kempen Euro 2024 selepas berjaya menundukkan juara bertahan itu 2-0 pada aksi pusingan 16 yang berlangsung di Olympiastadion, Berlin sebentar tadi.
Ketika Itali dilihat pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir, Switzerland jelas tidak menghiraukan ramalan tersebut.
Baca Juga:
- Pakar Analisis Ramal England Juara Euro 2024
- Euro 2024: Senarai Lengkap Pasukan Yang Mara Ke Pusingan 16
- Euro 2024: Georgia Lakar Kejutan Tewaskan Portugal
Ia dibuktikan dengan dominasi ditampilkan anak buah Murat Yakin terutamanya pada separuh masa pertama.
Mereka mendapat peluang terbaik pada minit ke-24 selepas Breel Embolo hanya berhadapan dengan Gianluigi Donnaruma, namun penjaga gol Itali itu cemerlang menafikan percubaan dalam kawasan penalti tersebut.
Kem Switzerland melonjak kegembiraan pada minit ke-37 apabila percubaan Remo Freuler setelah menerima hantaran lintang daripada Ruben Vargas tidak mampu diselamatkan Donnaruma untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Fabian Rieder hampir menambah jaringan buat Switzerland ketika permainan memasuki masa kecederaan babak pertama, tetapi Donnaruma cemerlang menggagalkan percubaan situasi sepakan percuma penyerang tersebut.
Hanya seminit selepas aksi kembali bersambung, Vargas pula meletakkan nama selaku penjaring untuk melebarkan kedudukan buat skuad A-Team Nati.
Itali yang dibimbing Luciano Spalletti bekerja keras untuk memadamkan kelebihan dimiliki lawan tetapi usaha mereka masih belum mencukupi dan hanya mampu melihat pemain Switzerland keriangan sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan, Szymon Marciniak dari Poland.
Dengan kemenangan penting dilakarkan, Switzerland menanti pemenang antara England dan Slovakia yang akan beraksi awal pagi esok.