Cristiano Ronaldo mengucapkan selamat tinggal pada karier Euro terakhirnya selepas Portugal tewas kepada Perancis menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir.

Kemenangan itu menyaksikan Perancis akan bertemu Sepanyol di separuh akhir, awal pagi Rabu ini.

Baca Juga:

Tempoh 120 minit permainan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Hamburg sekaligus diheretkan kepada penentuan sepakan penalti.

Joao Felix menjadi satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakan manakala Theo Hernandez meledak penalti kemenangan Perancis.

Kemenangan Perancis turut menamatkan perjuangan Ronaldo untuk menjadi juara dalam Euro terakhirnya. Beliau telah beraksi dalam enam edisi Euro sejak 2004.

Ronaldo pernah memenangi Euro bersama Portugal untuk edisi 2016. Ketika itu Portugal mengalahkan Perancis di final.

Selepas tamat perlawanan, Ronaldo dan Pepe berpelukan. Pepe menangis kerana dia juga hampir pasti tidak akan lagi beraksi dalam kancah Euro.

Dengan Piala Dunia tinggal 2 tahun lagi untuk berlangsung, Ronaldo dan Pepe mungkin tidak beraksi dalam kejohanan itu nanti. Namun, Ronaldo optimis dia dapat beraksi dalam Piala Dunia 2026 pada usia ketika itu ialah 41 tahun.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez memuji Pepe, pemain tertua dalam sejarah kejohanan yang kelihatan menangis pada penghujung perlawanan.

“Dia seorang pejuang. Apa yang Pepe lakukan hari ini dan dalam kejohanan itu adalah contoh yang baik untuk dijadikan teladan,” tambah Martinez.

Pepe berkata beliau akan memaklumkan mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan pada satu ketika nanti.

“Saya mempunyai masa yang cukup untuk bercakap tentang masa depan saya, kami perlu mengatasi kesakitan ini, kami mempunyai keupayaan untuk memenangi pertandingan, dan kini kami perlu padang ke depan,” kata pemain pertahanan tengah itu.