Ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan temasya UEFA Euro 2024 yang berlangsung di Jerman ketika ini akan menjadi kejohanan terakhir beliau.

Ronaldo telah beraksi dalam enam edisi Euro dimana kali pertama beliau terlibat ialah pada edisi 2004. Selepas ini, United Kingdom dan Ireland akan menjadi tuan rumah bagi edisi 2028 dimana salah satu pemain terbaik dunia ini akan menginjak usia 43 tahun.

Baca Juga:

Bercakap kepada stesen TV Portugal, bekas pemain Juventus dan Real Madrid itu edisi kali ini akan menjadi yang terakhir baginya.

“Sudah pasti ini yang terakhir. Tetapi saya tidak beremosi mengenainya. Saya gembira dengan apa yang saya telah capai dalam bola sepak. Semangat yang saya tunjukkan, semangat dari penyokong, keluarga saya hadir setiap kali saya beraksi. Apa lagi untuk saya raih atau menangi?

“Perkara paling penting ialah perjalanan yang mana saya selalu bersemangat dari hari pertama. Sudah 20 tahun saya bermain dengan pasukan kebangsaan, membawa kegembiraan kepada orang ramai, kepada keluarga, anak-anak saya, itulah yang paling menggembirakan saya,” katanya.

Baru-baru ini, Cristiano Ronaldo membantu Portugal mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Slovenia menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat tanpa jaringan.

Pemain berusia 39 tahun itu menangis selepas perlawanan dan beliau menjelaskan mengapa air matanya gugur selepas Portugal mara ke suku akhir.

“Saya berpeluang untuk meletakkan pasukan kebangsaan berada dihadapan tetapi saya gagal melakukannya. Oblak telah menyelamatkan sepakan penalti itu dengan cukup baik.”

“Saya perlu mengkaji semula penalti itu, saya tidak tahu sama ada saya menendang dengan baik atau tidak, tetapi sepanjang tahun ini saya tidak pernah gagal sekali pun (menyempurnakan sepakan penalti) dan pada saat yang paling penting, Oblak menyelamatkannya.”

“Yang paling penting adalah menikmati detik ini (mara ke suku akhir), pasukan melakukan pekerjaan luar biasa, kami bertarung hingga ke akhir dan jika anda menganalisis perlawanan dengan baik, Portugal layak mendapatkannya kerana kami memiliki lebih banyak peluang.