Penyanyi Ezad Lazim atau Ezad Exists terkesan dengan pemergian Jay Jay, yang disahkan meninggal dunia malam semalam – menurut BH Online.
Mohd Fauzi Darus atau Jay Jay bukan nama asing dalam industri seni hiburan Malaysia. Dan Ezad turut berkongsi kebaikan arwah yang mempertahankannya ketika pihak atasan mahu menyingkirkannya.
Ezad menulis di ruangan Facebook: “Maaf agak panjang sikit coretan saya hari ini.
“Abang Jay Jay adalah orang yang bertanggungjawab menjaga vocal saya semasa rakaman album pertama saya bersama Exists.
“Antara kenangan yang paling saya kenang sampai bila bila adalah beliau lah insan yang mempertahankan saya untuk kekal di Exists kerana pada masa itu ada suara suara pihak atasan dari label kami bernaung yang merasakan saya tidak sesuai menjadi penyanyi untuk Exists.
“Mereka mahukan exists cari penyanyi lain yang lebih sesuai padahal masa itu saya sudah merakamkan hampir separuh lagu untuk album itu.
“Saya masih ingat abang Jay Jay tegas bercakap di telefon, dengan nada yang agak keras mengatakan: ”Kenapa perlu cari penyanyi lain? Kenapa korang kata suara budak ni tak sesuai?’ – Dengan ketegasan dia, akhirnya mereka ( pihak syarikat rakaman) akur juga untuk mengekalkan saya sebagai vokalis untuk kumpulan Exists.
“Dan kerana dia saya terus bertahan bersama Exists sampai ke album terakhir saya bersama band itu, dan masih bertahan sebagai anak seni hingga ke hari ini.
“Bayangkan pada masa itu memang pihak syarikat rakaman tukar vokalis lain untuk Exists? Huhu, mungkin kerjaya saya sekarang ini adalah seorang model huhu.
“Ramai yang yang tak tahu dengan cerita ini kan. Sedikit perkongsian buat semua untuk mengenang abg Jay Jay.
“Hari ni kita kehilangan insan hebat dalam industri seni ini. Moga rohnya dicucuri rahmat yang Esa. Ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Salam takziah dari kami. Al fatihah.”
Perkongsian Ezad itu mendapat perhatian netizen. Yang turut terkesan dengan kehilangan penyanyi yang bersuara merdu itu.