Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) telah menangguhkan semua perlawanan bola sepak dalam kejohanan domestik, susulan serangan negara haram di selatan Lubnan dan meningkatnya kebimbangan perang lebih besar tercetus.

Sekurang-kurangnya 558 orang, termasuk 50 kanak-kanak, telah terbunuh dan 1,835 cedera dalam pengeboman sengit oleh IDF di beberapa bahagian Lubnan yang bermula pada hari Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.

Puluhan ribu orang telah dipaksa keluar dari rumah mereka “dan bilangannya terus bertambah”, menurut agensi pelarian PBB (UNHCR).

“Disebabkan situasi semasa di negara ini, jawatankuasa eksekutif Persatuan Bola Sepak Lubnan telah memutuskan untuk menangguhkan perlawanan semua kejohanan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian,” kata LFA dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengumuman itu dibuat empat hari selepas hari pembukaan Liga Perdana Lubnan – pertandingan bola sepak lelaki domestik utama negara itu. Hari kedua perlawanan musim 2024-2025 dijadualkan dari 27 hingga 29 September.

Lubnan tidak dapat menjadi tuan rumah sebarang perlawanan antarabangsa dalam beberapa bulan akan datang. Ia kali terakhir menganjurkan perlawanan di tempat sendiri pada 28 Disember, apabila pasukan kebangsaan lelaki menentang Jordan dalam perlawanan persahabatan.

Dua perlawanan persahabatan mereka seterusnya, menentang India (12 Oktober) dan Vietnam (15 Oktober) dijadualkan diadakan di Vietnam.

Bola sepak domestik di Palestin juga kekal menggantung aktivitinya kerana pergolakan dan krisis kemansiaan di Gaza, yang bermula selepas serangan 7 Oktober.

Perlawanan terakhir Liga Profesional Palestin dimainkan pada 6 Oktober, manakala pasukan kebangsaan lelaki meneruskan perlawanan antarabangsanya di luar negara. Kali terakhir Palestin menjadi tuan rumah perlawanan di tempat sendiri di Tebing Barat yang diduduki pada 2019.

Menurut Persatuan Bola Sepak Palestin, sekurang-kurangnya 410 atlet, pegawai sukan atau jurulatih telah terkorban dalam perang di Gaza setakat Ogos. Daripada jumlah ini, 297 adalah pemain bola sepak, termasuk 84 kanak-kanak.

Peminat bola sepak masih menggesa FIFA dan UEFA agar menggantung Is-rael daripada aktiviti bola sepak antarabangsa. Sebagaimana mereka mengenakan sekatan ke atas Rusia sebelum ini.