Sistem Transit Rapid (RTS Link) di Stesen Bukit Chagar direka sebagai pusat integrasi pengangkutan awam serba moden yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Inisiatif strategik ini dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura secara berterusan.

Menerusi hantaran Facebook, RTS Link JB-SG memperlihatkan kepada orang ramai bagaimana rupa fasiliti-fasiliti yang ada di dalam Stesen Bukit Chagar.

Pelbagai kemudahan yang dirancang khas untuk keselesaan, kemudahan, dan aksesibiliti pengguna, merangkumi bilik solat, tandas mesra OKU, lif, kaunter maklumat, serta bilik penyusuan khas.

Faktor keselamatan turut diutamakan melalui penyediaan pengimbas keselamatan yang dilengkapi lorong khas bagi penumpang tanpa bagasi dan pembawa bagasi bersaiz besar untuk melancarkan proses pemeriksaan.

Selain itu, kiosk perniagaan mesra alam disediakan bagi memuatkan pelbagai premis makanan, minuman, dan peruncitan bagi memeriahkan lagi pengalaman perjalanan harian pengguna RTS Link.