Penjaga gol skuad Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohammad secara rasmi dilantik sebagai Duta Rasmi Utama FAT Sports, sebuah syarikat barangan sukan terkemuka dari Indonesia selama dua tahun.
Selain Syihan, FAT Sports turut menandatangani Sikh Izhan Nazrel, Syed Nasrulhaq Syed Bidin dan Rahadiazli Rahalim
yang dianggap sebagai penjaga gol terbaik dalam negara ketika ini.
Baca Juga:
- Senarai 4 Penjaga Gol Pernah Jaringkan Gol Dalam Saingan UCL
- Dilabel Penjaga Gol Paling Teruk Man United, Ini Respons Andre Onana
- Ini Undang-Undang Baharu Bagi Penjaga Gol Musim Hadapan
Dalam majlis menandatangani memorandum yang berlangsung di Cyberjaya pada Jumaat, keempat-empat penjaga gol itu bakal menggunakan sarung tangan baharu yang dilengkapi teknologi terbaharu untuk membantu meningkatkan prestasi mereka di gawang.
Pengasas FAT Sports, Franky Adi Tama mengakui pihaknya mengikuti rapat prestasi keempat-empat penjaga gol ini dan merasakan mereka sesuai untuk dijadikan sebagai duta.
FAT Sports Mahu Buka Kedai Di Johor
Selain itu, FAT juga kini dalam proses untuk membuka stor pertama mereka di Malaysia dengan Johor Bahru diumumkan sebagai destinasi sulung.
“Selepas 10 tahun kami bertapak di Malaysia, kini sudah sampai masanya untuk kami berkembang dan melantik empat penjaga skuad kebangsaan Malaysia sebagai duta kepada produk kami.
“Keempat-empat mereka ini sudah kami kenal pasti sebagai penjaga terbaik di Malaysia dan ianya juga langkah terbaik untuk lebih ramai mengenali produk kami sebelum kami melancarkan kedai pertama kami di Johor Bahru, tahun ini,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu, Syihan yang cemerlang bersama skuad Harimau Malaya ketika mengikat Cape Verde mengakui dia teruja dengan peluang ini dan akan cuba membawa peranan duta dengan baik.
“Sememangnya saya teruja dengan kerjasama ini dan saya sudah mencuba produk ini dan gembira dengan kualiti yang diberikan serta ianya menepati kehendak saya sebagai penjaga gol,” jelasnya.
Perkara yang sama turut diakui oleh ketiga-tiga lagi penjaga gol yang berpuas hati dengan corak dan keselesaan yang berikan oleh sarung tangan ini.
FAT juga komited untuk memberikan keselesaan buat para pemain dan ini juga buat julung kalinya empat penjaga gol kebangsaan bernaung di bawah jenama yang sama dan ini dianggap sebagai kejayaan buat jenama ini.