Pinjaman pendidikan PTPTN sering menjadi penyelamat bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Namun, tanggungjawab untuk membayar balik sering kali menjadi cabaran bagi sesetengah peminjam.
Tetapi tidak bagi dua figura terkenal tanah air, Fattah Amin dan Nadia Hasnan, yang berkongsi pengalaman mereka melunaskan pinjaman dengan penuh disiplin bersama Harian Metro.
Ini tanggungjawab, bukan beban – Fattah Amin

Pelakon popular, Fattah Amin, menegaskan bahawa membayar hutang PTPTN bukanlah sesuatu yang membebankan tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi.
“Susah atau tidak, itu bergantung kepada individu. Tapi sebagai peminjam, kita kena ada rasa tanggungjawab untuk melunaskan hutang kerana wang ini akan digunakan oleh pelajar lain di masa akan datang,” katanya.
Fattah sendiri tidak menangguhkan bayaran setelah mula bekerja. Baginya, jika seseorang sudah membuat perjanjian pinjaman, maka komitmen untuk membayar balik perlu dipandang serius.
“Saya memang terus mula bayar bila dah mula bekerja. Apabila kita meminjam, kita kena ingat bahawa ini adalah amanah dan bukannya sesuatu yang boleh diabaikan begitu saja,” tambahnya.
Malah, Fattah menggunakan perbankan dalam talian untuk membayar kerana ia lebih mudah dan cepat.
“Saya gunakan sistem perbankan dalam talian. Itu yang paling mudah untuk membayar balik. Banyak lagi platform yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran balik.
“Yang baru nak mula bayar, saya rasa bagus. PTPTN pun dah meluaskan cara pembayaran balik,” katanya.
Fattah turut mengingatkan bahawa mengabaikan hutang PTPTN boleh mendatangkan masalah di masa hadapan, terutama dalam urusan membuat pinjaman lain seperti pembelian rumah dan kereta.
Lagi lambat bayar, lagi berat – Nadia Hasnan

Sementara itu, penyanyi dan pengacara, Nadia Hasnan, berkongsi bahawa dia lebih selesa membuat bayaran ansuran secara manual setiap bulan. Baginya, lebih baik membayar sedikit tetapi konsisten daripada menunggu sehingga hutang menjadi beban besar.
“Sebenarnya, bayaran balik PTPTN tak susah pun. Yang jadi susah bila kita mula abaikan. Bila dah terbiasa tak bayar, kita akan lupa dan akhirnya tak buat langsung,” katanya.
Nadia juga memilih pelan pembayaran jangka panjang untuk memastikan ansuran bulanan tidak terlalu membebankan.
“Kalau buat bayaran bulanan, jumlahnya tak besar pun. Jadi lebih mudah untuk terus konsisten,” jelasnya.
Namun, dia tidak menafikan masih ramai yang lalai dalam membayar hutang PTPTN.
“Biasalah, sewaktu zaman belajar, kita dah ‘seronok’. Bila dah habis belajar, dah lupa sebab tak ada orang yang ingatkan.
“Tapi, janganlah biasakan diri terlupa bayar hutang yang sepatutnya kita bayar, hanya kerana tak ada orang ingatkan”.
Bagi Nadia, membayar hutang PTPTN bukan sekadar kewajipan peribadi tetapi juga satu tanggungjawab sosial yang memastikan generasi akan datang turut mendapat manfaat sama.
“Kita pernah rasa susah waktu belajar, dan pinjaman PTPTN memudahkan kita. Kalau kita tak bayar balik, generasi seterusnya seperti adik-adik atau anak-anak kita nanti yang akan terkesan,” tambahnya.
Bayar balik untuk masa depan yang lebih terjamin

Realitinya, pinjaman PTPTN bukanlah sekadar hutang biasa. Ia adalah tabung pendidikan yang membantu ribuan pelajar merealisasikan impian mereka.
Dengan membayar balik secara berdisiplin, seseorang bukan sahaja mengelakkan masalah kewangan peribadi tetapi juga menyumbang kepada kesinambungan dana pendidikan untuk pelajar lain di masa hadapan.
Jadi, buat korang yang ada hutang PTPTN, jangan lengah-lengahkan. Mulakan langkah kecil, bayar ikut kemampuan dan pastikan generasi akan datang turut mendapat peluang pendidikan yang sama!
Lebih cepat selesai, lebih tenang hidup!