Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia telah mengatasi China sebagai negara dengan rakyat paling ramai ke Thailand.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, lebih 2 juta rakyat Malaysia telah menjejakkan kaki ke negara jiran itu, lapor Thethaiger.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong, yang memaklumkan bahawa Malaysia mencatat 2,041,002 ketibaan pelancong, sekali gus berada di kedudukan teratas, mengatasi China (2,029,481), India (1,035,864), Rusia (981,011) dan Korea Selatan (702,267).

Malaysia

Secara keseluruhan, Thailand telah menerima lebih 15 juta pelancong antarabangsa antara 1 Januari hingga 8 Jun 2025, yang telah menyumbang kira-kira 699 bilion baht kepada ekonomi negara itu — bersamaan lebih RM90 bilion.

Faktor Lonjakan Pelancong ke Thailand

Beberapa faktor menyumbang kepada fenomena ini antaranya adalah proses kemasukan dipermudahkan dengan borang imigresen TM6 telah dimansuhkan dan diganti dengan Thailand Digital Arrival Card (TDAC) bermula 1 Mei lalu, menjadikan proses masuk lebih lancar.

Malaysia

Selain itu, kempen pelancongan berskala besar, seperti Amazing Thailand Grand Tourism and Sports Year 2025, berjaya menarik pelancong termasuk rakyat Malaysia.

Akhir sekali kerjasama dengan syarikat penerbangan turut dipertingkatkan bagi menambah kekerapan penerbangan, menjadikan perjalanan lebih mudah.

Lonjakan Ketara Minggu Lalu

Malaysia

Walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah pelancong asing sekitar 1.63% antara 2 hingga 8 Jun akibat tamatnya cuti umum di beberapa negara, Malaysia tetap mendahului dengan 114,018 ketibaan pelancong dalam seminggu, berbanding China (62,082), India, Korea Selatan dan Singapura.