Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri mengumumkan bahawa beliau meninggalkan pasukan itu selepas dua musim beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Perkara ini diumumkan oleh Forestieri di laman media sosial miliknya yang mana beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya ketika bergelar pemain.

Baca Juga:

“Sukar untuk saya mengucapkan selamat tinggal tetapi ini adalah bola sepak. Saya ingin mengucapkan banyak terima kasih untuk beberapa tahun yang menakjubkan ini di JDT.

“Kepada Kiko, Martin, Alistair, kakitangan perubatan, kakitangan teknikal, penganalisis, pengurus pasukan, kakitangan pemasaran, pakar pemakanan, lelaki kit, tukang kebun, tukang cuci, tukang masak, staf keselamatan, dan semua orang di belakang tabir, terutamanya rakan sepasukan saya yang akan sentiasa saya hargai kenangan bersama anda semua!

“Terima kasih kepada peminat kerana sentiasa menyokong saya! Saya akan selamanya berterima kasih kepada bos dan keluarganya yang sentiasa menjaga saya dan keluarga saya! Hati saya akan sentiasa berada di Johor,” tulis Fernando Forestieri.

Pemilik kelab JDT, Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor turut meninggalkan komen di laman Instagram Forestieri.

Fernando Forestieri
Fernando Forestieri

“Sentiasa sebahagian daripada keluarga JDT. Sayang kamu Fer,” ujarnya.

Baru-baru ini, pemain berusia 34 tahun itu dikesan terlibat dalam sesi latihan pasukan Watford B-21 Tahun dan difahamkan beliau berlatih untuk mencapai tahap kecergasan terbaiknya.

Kali terakhir Forestieri beraksi untuk JDT adalah ketika menentang Kelantan Darul Naim pada bulan Jun lalu bagi aksi Piala FA 2024.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan kelab dari Timur Tengah dan Argentina berminat untuk mendapatkan khidmat Forestieri.

Antara kelab yang dilaporkan berminat ialah Newell’s Old Boys dimana penyerang itu pernah menyarung jersi Newell’s pada usia remaja sebelum beliau berhijrah menyertai Boca Juniors II pada 2003.