Pernahkah anda membayangkan untuk menyimpan sebahagian daripada sejarah sukan paling berprestij di dunia di dalam bilik anda sendiri? Bagi peminat tegar bola sepak, impian ini mungkin menjadi kenyataan.

Pihak FIFA telah mengambil langkah unik dengan menjual kepingan rumput sebenar dari padang perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Perlawanan kemuncak yang bakal berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey ini pasti meninggalkan kenangan manis, dan kini sesiapa sahaja yang berkemampuan boleh memiliki cebisan padang di mana pemain-pemain hebat dunia berentap untuk menjulang trofi idaman ramai.

Empat Pilihan Eksklusif Mengikut Bajet

Koleksi istimewa yang diberi nama ‘Piece of the Pitch’ ini telah direka oleh sebuah syarikat dari United Kingdom iaitu Keep Stub.

FIFA Jual Rumput Final Piala Dunia 2026 Mencecah RM12,210 Sekeping
Sumber Gambar: Keepstub

Terdapat empat pilihan pakej yang boleh anda pilih, bermula daripada Foundation Edition yang diletakkan pada harga 450 dolar Amerika atau sekitar RM1,820.

Jika anda mahukan sesuatu yang lebih mewah, terdapat juga pilihan Stadium Edition dan Legacy Edition. Pakej yang paling mahal pula dikenali sebagai Hero Edition, yang dijual pada harga 3,000 dolar Amerika yang mencecah sehingga RM12,210.

Menariknya, setiap peringkat pakej ini dikeluarkan dalam kuantiti yang sangat terhad, iaitu hanya 2,026 unit sahaja bagi mengekalkan nilai eksklusifnya.

Apa Yang Anda Akan Terima?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah berbaloi membayar ribuan ringgit hanya untuk sekeping rumput? Setiap kepingan rumput ini sebenarnya akan dibungkus dengan sangat kemas di dalam kiub resin dan bekas akrilik premium untuk mengekalkan bentuk dan kesegarannya.

Bekas tersebut turut dihiasi dengan ukiran logo rasmi Piala Dunia 2026, lokasi, tarikh, serta keputusan perlawanan akhir tersebut. Bukan itu sahaja, pembeli juga akan menerima sebuah pemacu ria (USB) yang mengandungi video khas sebagai pengesahan ketulenan rumput berkenaan.

Bagi pembeli pakej Hero Edition yang paling mahal, saiz rumput yang diberikan adalah lebih besar berbanding pakej biasa dan ia turut disertakan bersama replika mini bola Piala Dunia Adidas Trionda serta sebuah trofi kaca kristal rekaan khas.

Rumput Yang Dikritik Tetapi Tetap Bernilai Tinggi

Kisah di sebalik rumput ini juga agak mencuit hati dan mempunyai sedikit ironi. Stadium MetLife sebenarnya merupakan rumah bagi pasukan bola sepak Amerika (NFL) dan lazimnya menggunakan rumput tiruan.

Namun, bagi memenuhi piawaian Piala Dunia, mereka telah menggantikannya sementara dengan rumput asli yang ditanam khas di sebuah ladang di North Carolina.

Walaupun rumput ini dijual sebagai sebuah koleksi berharga tinggi, kualitinya pernah dikritik hebat oleh beberapa orang pemain dari pasukan Brazil dan Perancis.

Mereka mengadu bahawa rumput tersebut terlalu kering sehingga menyukarkan pergerakan mereka di atas padang semasa beraksi di peringkat awal perlawanan.

Bagaimana Cara Untuk Mendapatkannya?

Walaupun koleksi bersejarah ini pastinya menjadi rebutan peminat bola sepak dari seluruh pelosok dunia, buat masa ini ia hanya akan dihantar kepada pembeli yang menetap di Amerika Syarikat, United Kingdom, dan sekitar Eropah.

Proses penghantaran pula hanya akan bermula selepas perlawanan akhir melabuhkan tirainya pada 19 Julai 2026. Hal ini bagi memastikan rumput yang dihantar kepada pembeli benar-benar diambil terus dari padang selepas tamat perlawanan tersebut.

Walaupun harganya mungkin kedengaran tidak masuk akal bagi sesetengah orang dan dilihat sebagai cara FIFA meraih lebih banyak keuntungan, namun bagi pengumpul barangan sukan berharga dan penyokong setia, ia ibarat satu pelaburan memori yang tidak ternilai harganya.

Sumber