Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, tidak menolak kemungkinan akan menggunakan taktikal bertahan atau ‘parking bas’ ketika menentang  Johor darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Beliau membandingkan situasi di Eropah ketika pasukan kecil  berdepan lawan yang kuat seperti Manchester City.

Baca Juga:

“Kadang-kala kalau menentang pasukan kuat seperti Manchester City, mereka juga perlu ‘parking bas’. Tetapi lawan yang ditemui semestinya adalah sebuah pasukan bagus.

“Bergantung pada situasi. Jika pasukan lawan beraksi lebih baik dan menguasai perlawanan, anda perlu bermain seperti itu (parking bas).

“Tetapi jika anda kekal bermain seperti itu sahaja, ia mungkin tidak bagus untuk pasukan anda,” katanya dalam sidang media.

FOTO: TFC

Bagaimanapun, Steinbruckner tetap memilih JDT sebagai pasukan pilihan namun beliau percaya apa-apa saja boleh berlaku dalam perlawanan akhir.

“Kita semua tahu siapa pasukan pilihan esok tetapi ini adalah perlawanan tunggal, apa-apa saja boleh berlaku dalam perlawanan seperti ini.

“Kita kena beraksi di tahap yang terbaik, lebih baik daripada mana-mana perlawanan sepanjang musim ini jika mahu tewaskan JDT, ada kalanya kita harus bernasib baik juga,” jelasnya.

Jurulatih dari Croatia itu turut menegaskan barisan pemainnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Harimau Selatan walaupun lawan dibarisi pemain berkualiti seperti Arif Aiman, Bergson dan Fernando Forestieri.

“Ia sememangnya mereka pasukan terbaik. Tapi segalanya akan ditentukan di atas padang. Semua tahu kelebihan dan kualiti yang ada pada Bergson, Forestieri, Arif Aiman di mana mereka ada skuad yang lengkap.

“Tapi kami juga ada kekuatan tersendiri, di mana gabungan pemain berpengalaman dan muda akan memberi saingan di final malam esok,” katanya.