Sekeping gambar memaparkan dua individu yang dipercayai penghantar makanan Foodpanda sedang menghisap rokok di sebuah premis makanan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Gambar tersebut mula tular selepas dikongsikan seorang pengguna X, yang meluahkan kebimbangan mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
Menerusi hantaran itu, dia mendakwa individu berkenaan menghisap rokok sebelum membuang puntung rokok ke atas lantai.
Dia turut mempersoalkan tahap keyakinan pengguna terhadap pengendalian makanan sekiranya penghantar yang bertanggungjawab membawa pesanan pelanggan melakukan perbuatan sedemikian.
“Hisap rokok. Buang puntung atas lantai. Dan adakah saya patut mempercayai mereka untuk mengendalikan keselamatan makanan saya?” tulisnya.
Hantaran tersebut turut mendapat perhatian selepas dia tag akaun rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Foodpanda Malaysia untuk mendapatkan perhatian pihak berkaitan.

Susulan perkara itu, Foodpanda Malaysia tampil memberikan respons dengan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
Pihak syarikat turut meminta pengguna berkenaan menyemak mesej langsung (DM) kerana mereka sudah menghantar mesej bagi membantu menyelesaikan perkara tersebut.
Foodpanda berkata: “Kami meminta maaf di atas kesulitan. Sila semak DM anda, kerana kami sudah menghantar mesej kepada kami agar kami boleh membantu anda selepas ini.”
