Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff mendedahkan pihaknya ada menerima maklumat kemungkinan terdapat madrasah yang tidak berdaftar di Kelantan dijadikan lokasi ‘cuci duit’ (penggubahan wang haram).

Menurut beliau, ada pengasas produk sanggup melabur atau penyumbang kepada madrasah berkenaan sehingga membabitkan jutaan ringgit semata-mata hanya untuk meminta doa atau saham akhirat daripada madrasah itu, petik Harian Metro.

Baca Juga:

“Hasil perbincangan polis dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), kita dapati banyak madrasah yang tidak berdaftar dan boleh dikatakan separuh daripada jumlah madrasah di Kelantan tidak berdaftar.

“Kita bimbang madrasah berkenaan dijadikan lokasi penggubahan wang haram sebab kita mendapat maklumat banyak ‘founder‘ luar dari Kelantan datang melabur sehingga mencecah RM2 juta untuk meminta doa selain sebagai saham akhirat.

“Berdasarkan maklumat kita, ia membabitkan beberapa madrasah dan kita bimbang berlaku kegiatan penggubahan wang haram,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan disebabkan faktor itu terdapat pondok di negeri ini tidak mahu berdaftar dengan MAIK.

“Ada yang melabur sehingga berjuta-juta mungkin terpengaruh dengan penggunaan kata-kata sehingga menjadi taksub,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua pihak yang mahu membuat pelaburan atau sebagainya supaya membuat semakan terlebih dahulu sama ada madrasah berkenaan berdaftar, mempunyai tauliah dan sebagainya.

“Polis Kelantan dengan kerjasama MAIK akan memantau masrasah berkenaan bagi mengekang sebagai kegiatan tidak diingini,” katanya.

Sumber