Bekas pemain tengah Manchester United, Fred, menyifatkan bekas pengurusnya, Erik ten Hag, sebagai individu yang teruk dalam menguruskan pemain di dalam skuad.

Pemain Brazil itu menghabiskan lima tahun bersama United, dengan memenangi Piala Liga dan membantu pasukan mara ke final Piala FA pada musim 2022/23.

Ten Hag tiba di United dengan reputasi besar selepas mengendalikan Ajax selama empat musim dan membawa kelab Belanda itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Walaupun berjaya memenangi Piala FA dan Piala Liga sepanjang dua tahun setengah di Manchester, Ten Hag gagal mencapai kejayaan yang diharapkan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Fred, yang meninggalkan United untuk menyertai kelab Turkiye, Fenerbahce, ketika Ten Hag masih menjadi pengurus menjelang musim 2023/24, memberikan penilaian pedas mengenai pengalamannya bekerja di bawah kendalian pengendali dari Belanda itu.

“Ten Hag sangat bagus dari segi taktikal, tetapi dari segi menguruskan kumpulan pemain, dia memang teruk,” katanya menerusi Charla Podcast.

“Dia bergaduh dengan semua orang. Dia bergaduh dengan saya, Cristiano Ronaldo, Casemiro dan Rashford. Dia tidak menurunkan saya untuk bermain dan kadangkala situasi itu menjadi sangat tertekan.

“Dengan Ten Hag, hanya pemain Belanda yang bermain. Dia seorang jurulatih yang suka mewujudkan kelompok tertentu dalam pasukan. Tetapi dari segi taktikal, dia antara jurulatih terbaik yang pernah saya bekerja dengannya.

“Dia mahu pasukan berlari dan bekerja keras, tetapi Cristiano ketika itu sudah semakin berusia. Dia mengeluarkan Cristiano daripada kesebelasan utama, kemudian tercetuslah perselisihan antara mereka.”

Ronaldo meninggalkan Manchester United pada penghujung 2022 selepas tidak lagi menjadi pilihan utama dalam kesebelasan pasukan.

Ten Hag pula dipecat pada Oktober 2024 ketika United berada di tangga ke-14 selepas mengharungi tujuh perlawanan liga, sekali gus mencatat permulaan terburuk mereka sejak musim 1989/90.

Fred turut berkongsi pandangannya mengenai beberapa bekas pengurus United yang pernah bekerja dengannya, termasuk Ole Gunnar Solskjaer, yang mengambil alih pasukan pada Disember 2018 selepas Jose Mourinho dipecat.

Pemain berusia 33 tahun itu, yang memiliki 32 penampilan bersama Brazil, memberikan penilaian lebih positif terhadap kedua-dua pengendali tersebut.

“Solskjaer bagus dalam menguruskan kumpulan pemain, tetapi dia turut dibantu oleh barisan pembantu jurulatih ketika sesi latihan. Dia berjaya menyatukan pasukan,” kata Fred.

Fred turut memuji Mourinho yang pernah membawanya ke Manchester United sebelum mereka kembali bekerjasama di Fenerbahce.

“Mourinho seorang yang hebat dan kelakar. Saya baru sahaja bekerja dengannya di Fenerbahce. Dia juga individu yang membawa saya ke United.

“Sebelum Carlo Ancelotti muncul sebagai calon, nama Mourinho pernah disebut-sebut untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Brazil.

“Jadi, saya akan menunjukkan kepadanya khabar angin itu dan dia akan menjawab, ‘Pergi matilah, kawan. Aku tak akan ke mana-mana. Aku akan terus mengendalikan kelab aku di sini.’

“Dia memang seorang yang sangat baik.”