Taman Hutan Selangor milik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini telah disenaraikan secara rasmi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memaklumkan bahawa pengumuman tersebut dibuat semalam semasa Sesi Ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di ibu pejabat UNESCO di Paris.

Baca Juga:

FRIM Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO Ke-6 Malaysia
Sumber Gambar: Facebook FRIM

Menurut kementerian, penyenaraian ini diputuskan oleh 21 negara ahli Jawatankuasa Warisan Dunia, hasil daripada proses pencalonan yang bermula sejak tahun 2013.

“Taman Hutan Selangor FRIM merupakan tapak yang unik dan mewakili antara usaha awal pemulihan ekosistem hutan hujan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di kawasan bekas lombong bijih timah,” katanya.

“Inisiatif ini telah menetapkan satu penanda aras antarabangsa apabila berjaya mewujudkan ekosistem yang menyerupai hutan hujan tropika semula jadi, yang kaya dengan kepelbagaian spesies pokok serta biodiversiti keseluruhannya,” menurut kenyataan tersebut.

FRIM Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO Ke-6 Malaysia
Sumber Gambar: Facebook FRIM
Malaysia komitmen lindungi dan pelihara tapak semula jadi

Kementerian turut menjelaskan bahawa pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen berterusan Malaysia dalam melindungi dan memelihara tapak semula jadi dan budaya yang mempunyai nilai sejagat luar biasa, di samping meningkatkan keterlihatan negara di persada dunia.

“Kementerian yakin bahawa pengiktirafan ini akan menambah nilai signifikan kepada Taman Hutan Selangor FRIM sebagai salah satu produk pelancongan utama di Selangor.

“Selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, pencapaian ini dijangka dapat merangsang ketibaan pelancong antarabangsa serta menyumbang kepada ekonomi negara, terutamanya dengan memberi manfaat kepada komuniti setempat,” tambah kenyataan itu lagi.

FRIM Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO Ke-6 Malaysia
Sumber Gambar: Facebook FRIM

Dengan penyenaraian terkini ini, Malaysia kini memiliki enam Tapak Warisan Dunia UNESCO:

1. Taman Kinabalu (2000)
2. Taman Negara Gunung Mulu (2000)
3. Bandar Bersejarah Selat Melaka – Melaka dan George Town (2008)
4. Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012)
5. Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024)
6. Taman Hutan Selangor FRIM (2025)

Sehingga kini, sebanyak 1,223 tapak di seluruh dunia telah disenaraikan di bawah Konvensyen 1972 Mengenai Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia.