Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melakar sejarah selepas mengesahkan status selaku juara Liga Premier saingan Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2024.

Kemenangan tersebut hadir selepas skuad kendalian Faris Sidek itu menumpaskan Widad University College 4-2 pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi

Baca Juga:

Meskipun masih berbaki satu permainan, UniKL jelas sukar digugat kerana memiliki kelebihan empat mata berbanding pencabar terdekat, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

UTeM terlepas peluang untuk mengekori dengan lebih rapat kerana tewas kepada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 1-2.

Beraksi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu, UniKL bermula baik dengan beberapa serangan berbahaya dilancarkan pada awal permainan.

Namun penjaga gol Widad, Mohammad Aliff Aiman Mohammad Ranto kental bertahan menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Gawang Widad akhirnya ‘roboh’ pada minit ke-16 apabila Muhammad Hisham Sazali mudah menanduk masuk bola susulan percubaan awal Adam Izz Wazif Muhammad Azhar yang terkena palang bagi meletakkan UniKL dihadapan.

Seminit kemudian giliran Syed Khidir Shaab Syed Yahya pula melebarkan kedudukan untuk terus menceriakan kem UniKL.

Widad University College merapatkan jurang jaringan pada mini ke-25 menerusi tolakan Muhammad Hazim Abdul Hadi.

Tidak mahu pasukan lawan terus memberikan tekanan, UniKL menambah jaringan ketiga hasil rembatan padu Muhammad Syahmi Safaruddin pada minit ke-31 dan Muhammad Zaim Azim Muhammad Fajruddin menjadikan kedudukan 4-1 berselang seminit kemudian.

Jaringan Ahmad Danish Fitri Norman Azli pada minit ke-33 masih belum cukup untuk menghalang kejayaan skuad futsal UniKL muncul juara liga musim ini.