Dalam kehangatan Liga Super yang baharu bermula serta Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, saingan melibatkan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) juga tidak kurang hebatnya.

Ia jelas dibuktikan dengan saingan sengit ditampilkan pasukan bertanding dalam saingan Liga Futsal IPT 2024 yang sudah menamatkan fasa kedua pada minggu lalu.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Ini bermakna setiap pasukan terutamanya bagi kategori lelaki (Liga Super dan Liga Premier) sudah menghadapi enam perlawanan setakat ini.

Status sebagai pelajar langsung tidak menghalang para pemain untuk menjelmakan aksi terbaik serta semangat juang tinggi mereka dalam saingan di Arena Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada fasa satu dan diikuti fasa kedua bertempat di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Bagi saingan Liga Super, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang merupakan gergasi futsal dalam kalangan IPT di Malaysia kini sedang menghuni tangga teratas dengan 16 mata.

Kedudukan Liga Super. Kredit Foto: Liga Futsal IPT

Skuad kendalian Addy Shairullyzam Mohd Shafie itu mencatatkan lima kemenangan dan satu keputusan seri manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengejar dengan penuh sabar hanya dua mata dibelakang.

Pasukan yang baharu dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengekori dikedudukan ketiga dengan 11 mata manakala UPSI ditempat keempat selepas mengutip 10 mata.

Kedudukan UMPSA dan UPSI masih dalam bahaya kerana KPTM Bangi berada di tangga kelima dengan sembilan mata.

Kedudukan Liga Premier. Kredit Foto: Liga Futsal IPT

Kategori Liga Premier pula menyaksikan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hanya berkelebihan satu mata dibelakang pencabar terdekat, USM dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

UniKL yang dibimbing Faris Sidek mengumpul 13 mata dan pastinya USM dan UTeM tidak akan memberikan laluan kepada pendahulu liga itu pada fasa terakhir yang dijadualkan berlangsung di Terengganu pada Oktober nanti.

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) juga turut mengintai peluang terbaik untuk merebut kejuaraan dengan 10 mata diraih.

Difahamkan, empat pasukan teratas saingan Liga Premier akan layak beraksi di Liga Super pada tahun hadapan.

Ini bermakna empat pasukan tangga terbawah Liga Super akan ‘turun’ pangkat ke Liga Super.

Kedudukan Liga Wanita. Kredit Foto: Liga Futsal IPT

Sementara itu bagi kategori wanita pula, UiTM ditangga teratas dengan 15 mata, namun juara bertahan edisi lalu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ketinggalan tiga mata masih kekurangan satu perlawanan.

Management and Science University (MSU) dikedudukan ketiga dengan 11 mata manakala UPSI mengumpul 10 mata.

Dengan perubahan format baharu diperkenalkan dalam Liga Futsal IPT 2024, liga hanya berlangsung satu pusingan dan ini bermakna fasa ketiga di Terengganu nanti bakal menjadi penentu kepada kejuaraan bagi setiap kategori.