Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara kategori Liga Super saingan Liga Futsal IPT 2023 selepas menundukkan pencabar terdekat, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi 3-2 pada aksi terakhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM), sebentar tadi.
Pertembungan melibatkan dua pasukan tangga teratas itu jelas cukup menarik untuk disaksikan para penonton dengan corak permainan pantas dipamerkan para pemain.
Dengan permainan intensiti tinggi disajikan menyaksikan penjaga gol, Muhammad Adam Aiman Che Mohd Kamal (UiTM) dan Muhammad Haikal Iman Mohd Mahadi (KPTM Bangi) menjadi watak penting dalam menafikan deretan percubaan lawan.
UiTM yang dibimbing Addy Shairullyzam turut terlepas peluang keemasan apabila dua percubaan daripada Muhammad Zulfayri Shamsul Asmardy singgah di palang gol manakala rembatan Muhamad Bokhari Samsudin pula terkena pintu gol.
Mendapat tonik berguna ketika waktu rehat, UiTM berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-23 menerusi ketua pasukan, Muhammad Aidil Izwan Mazlan.
Aidil yang menerima lorongan secukup rasa daripada Mohamad Ammar Jeffrey Mohamad Azman tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bagi memberikan kelebihan buat UiTM.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan UiTM untuk menambah jaringan kedua hanya berselang seminit kemudian hasil rembatan padu Muhamad Syauki Ahmad Puad.
Tersentak dengan dua gol pantas tersebut, anak buah Syafique Faudzil menggandakan asakan bagi mengurangkan defisit jaringan.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-29 apabila lorongan Arif Aiman Hakimie Nor Asmadi disudahkan dengan baik oleh Muhammad Rusyazwi Mohd Rodzi.
Kegembiraan KPTM Bangi itu bagaimanapun hanya mampu bertahan dua minit selepas percubaan Ahmad Azrai Afiq Awang setelah menerima ‘cutback’ daripada Muhamad Bokhari berjaya menewaskan penjaga gol gantian, Mikail Adam.
Aksi bertambah sengit dan menarik dengan jaringan kedua dihasilkan KPTM Bangi menerusi Arif Aiman Hakimie yang mudah menyudahkan peluang ketika situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol UiTM.
Kedudukan 3-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Futsal IPT 2023 menjadi milik UiTM.