Nama Koperal Mazlan Abdul Rahman menjadi bualan netizen selepas keberaniannya bergadai nyawa menyelamatkan dua individu dalam kejadian di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini.

Bagi menghargai jasanya, beliau dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) dinaikkan ke pangkat Sarjan bagi mengiktiraf keberaniannya itu, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Pemakaian pangkat perwira itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat hari ini. Beliau turut dianugerahkan Pisau Tentera Darat sebagai pengiktirafan dan penghormatan.

Muhammad Hafizuddeain berkata, keberanian Koperal Mazlan dalam kejadian pada 15 Januari lalu waktu itu adalah satu teladan yang baik dan amat membanggakan Tentera Darat.

“Baru baru ini negara menyaksikan keberanian Sarjan Mazlan yang sanggup terjun ke laut bagi menyelamatkan dua individu di Jambatan Pulau Pinang.

“Apa yang dilakukan itu menunjukkan teladan bagaimana seorang anggota yang mempunyai sifat keberanian dan pengorbanan menzahirkan nilai etos kepahlawanan dengan tindakan beraninya walaupun tahu ada bahaya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau percaya apa yang dilakukan oleh Sarjan Mazlan adalah hasil daripada latihan dan didikan yang diterima sepanjang perkhidmatan Tentera Darat.

Terdahulu, Mazlan dilaporkan bertindak nekad terjun di Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamatkan dua individu yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.

Sumber