Setiap kali keputusan SPM diumumkan, maka di dada-dada akhbar banyak menceritakan kisah-kisah gembira dan kejayaan.
Aku dulu mempunyai impian tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Subjek paling aku lemah adalah matematik. Untuk SPM aku banyak tertumpu pada subjek matematik.
Bagi aku, tak dapat keputusan bagus tak apa, yang penting jangan ada subjek yang gagal. Pulun punya pulun.
Keputusan diumumkan
Pada hari keputusan diumumkan, aku hanya berdoa supaya jangan ada subjek yang gagal(F). Harapan aku tidak tinggi untuk mendapat keputusan yang baik, bahkan tidak mengharap A sekali pun.
Dapat keputusan aku hanya tengok subjek Matematik, Alhamdulillah tak gagal. 8E, OK lah kan? (pada akulah). Tapi subjek lain ok, malah subjek BI aku dapat C, oklah…
Pohon masuk universiti
Aku tahu keputusan aku memang tak layak ke Universiti, tapi aku tetap pohon.
Masa SPM aku kelas sastera jadi aku pohon kursus sastera sahaja. Aku hanya pilih syarat-syarat kemasukan yang setaraf dengan keputusan SPM.
Cubaan rayuan
Pohon punya pohon tak ada rezeki nak masuk U. Lepas tu rayuan dibuka, pun pohon jugak. Tetap tiada rezeki.
Dulu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ada bantu pelajar yang tak lepas ke U. Hantar borang ke mereka.
Aku pun pergi naik bas. Jalan kaki cari pejabat GPMS atas bukit, mencanak naik. Hantar sendiri.
Bukan itu sahaja, aku siap buat beberapa salinan hantar sendiri ke universiti untuk rayuan. Pergi sendiri – naik bas, teksi, komuter.
Ingat lagi, kali pertama pergi hantar borang rayuan, aku pergi ke U*M. Masuk pejabat hantar borang. Terus pergi pejabat pendaftar (aku ingat pendaftar orang yang buat pendaftaran masuk U).
Manalah nak tau.
Tunggu punya tunggu tetap tak ada rezeki. Tak apalah nak buat macam mana keputusan aku pun tak bagus sangat.
Fasa baru bermula
Sambil-sambil memikirkan apa nak buat, aku pun kerja. Ambil upah kedai makan, kedai game, kedai runcit, pasar malam, ikut lori, macam-macam lagi.
Tergerak hati nak pergi sekolah dengan kawan baik (arwah) untuk ambil sijil SPM yang sebenar. Tiba-tiba ternampak senarai nama yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan untuk kemasukan ke Tingkatan 6. Eh, nama aku ada!
Jadi ambillah keputusan masuk Tingkatan 6. Tapi, mak aku bantah! Biasalah orang tua, dok dengar cakap orang yang tingkatan 6 tak bagus, membazir, buang duit. Habis sekolah nak sekolah lagi.
Aku masuk tingkatan 6 agak lambat sebab kena cari duit sendiri untuk bayar yuran, duit pakaian, buku.
Habis tingkatan 6
Habis tingkatan 6 pun tak lepas masuk U. Keputusan cukup makan.
Aku dah letih, baik kerja. Tetapi, tetap teringin nak masuk U.
Fasa kerja
Macam-maca kerja aku buat – hotel, bank, kedai stor gas, syarikat pelaburan dan macam-macam.
Tapi hati tetap ingin nak sambung belajar.
Universiti Malaya (UM)
Masa ni kalau tak silap, aku tengah kerja di syarikat pelaburan.
Aku ambil kursus Sijil Bahasa Inggeris di UM. Kelas hujung minggu.
Alhamdulillah dapatlah rasa kehidupan macam kawan-kawan aku belajar di U. Naik tren, bas, jalan kaki, pergi perpustakaan, belajar berkumpulan. OKlah..
UiTM
Habis belajar di UM, aku pun tukar kerja ke bidang perhotelan. Di hotel aku pernah buat macam-macam, dari housekeeping, laundry dan kitchen.
Kemudian ukar lagi kerja, dapat kerja bank. Kerja bank! Dengan keputusan matematik nyawa-nyawa ikan. Apa-apa pun Alhamdulillah, syukur.
Semasa kerja di bank, keinginan nak sambung belajar masih kuat.
Maka aku memohon untuk sambung belajar kelas hujung minggu di UiTM Shah Alam dalam kursus Diploma Perbankan. Tetapi hanya bertahan 1 semester sahaja.
Aku tak boleh bawa.
UKM
Sambil-sambil kerja bank, aku cuba cara lain masuk U. Kali ini menggunakan STPM.
Kalau STPM sudah tentu boleh terus buat Ijazah. Oleh itu, aku pohon program Ijazah UKM, kelas hujung minggu dalam kursus Komunikasi dan Dasar Awam. Berjaya.
Dalam masa yang sama aku dapat kerja baru di UIA, sampai sekarang.
Belajar hujung minggu sampai habis. Alhamdulillah, grad juga. Akhirnya, ada juga sekeping ijazah.
Kelebihan
Walaupun hidup aku berliku-liku, sebenarnya ada kelebihan yang aku dapat.
Pengalaman kerja ada, ijazah pun ada. Itulah sebenarnya yang membuatkan diri kita ini ada nilai dan dipandang majikan.
Cuma kene sabar, jangan gopoh. Ingat tak semestinya gagal SPM, terus gagal dalam hidup.
Bila teringat, dulu macam-macam kerja aku buat. Dari bawah, sampailah sekarang aku bukan sahaja ada kerja tetapi ‘berkerjaya’.
Dari pembantu kedai makan kini jadi seorang pegawai. Alhamdulillah.
Bukan nak riak atau menunjuk, tetapi hanya sebagai semangat untuk adik-adik lepasan SPM yang keputusannya kurang cemerlang.
Ini pengalaman hidup aku.
Yang baik boleh dijadikan teladan. Yang buruk boleh dijadikan sempadan.