Kadang-kala, boleh dilihat iklan peluang pekerjaan di media sosial namanya gah belaka tetapi gaji yang ditawarkan terlalu rendah sehingga tidak seiring dengan kos sara hidup semasa.

Ini apa yang terjadi di dalam dunia sebenar hari ini apabila jawatan Ketua IT dan Pembangunan Sistem dijangkakan menerima gaji tinggi kerana betapa pentingnya peranan yang dimainkan serta kepakaran yang diperlukan menerusinya tetapi hanya ditawarkan dengan gaji rendah.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai sebuah syarikat di Besut, Terengganu yang menawarkan gaji hanya RM2,000 sebulan untuk jawatan Ketua IT & Pembangunan Sistem.

Tawaran gaji yang jauh di bawah jangkaan ini telah menimbulkan kemarahan dan perbincangan hangat di kalangan netizen.

Apa yang menarik perhatian netizen di X tentang iklan jawatan itu bukanlah peluang pekerjaannya, melainkan ketidakpuasan hati mereka terhadap gaji RM2,000 yang dianggap jauh lebih rendah daripada skop kerja yang ditawarkan.

Menurut iklan, syarikat ingin mengambil Ketua IT & Pembangunan Sistem sepenuh masa dan tetap – posisi yang umumnya memerlukan pengalaman peringkat pertengahan hingga kanan. Namun, tanggungjawab yang digariskan, merangkumi perancangan seni bina sistem dan kelancaran operasi harian, jauh daripada sederhana.

Akan tetapi, gaji bulanan RM2,000 yang ditawarkan benar-benar memeranjatkan netizen, yang rata-rata bersetuju ia jauh di bawah jangkaan untuk jawatan itu.

Setelah diteliti lebih lanjut, iklan tersebut mendedahkan betapa tingginya kriteria yang ditetapkan. Calon yang berjaya dijangka untuk:-

1. Membangun dan mengurus sistem dalaman

2. Memimpin perancangan dan pelaksanaan projek sistem

3. Mencadangkan penyelesaian IT untuk meningkatkan operasi perniagaan

4. Menyelesaikan masalah teknikal

Merangka strategi digital jangka panjang dan menyokong matlamat transformasi syarikat

Selain itu, pemohon perlu memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Sains Komputer, IT, Kejuruteraan Perisian, atau bidang yang setara, dengan pengalaman kerja selama 3–4 tahun.

Tidak sekadar itu, penguasaan teknikal dalam Laravel, PHP, HTML, CSS, JavaScript, dan MySQL adalah wajib, seiring dengan kualiti kepimpinan yang kukuh dan pemikiran yang strategik sekaligus membuktikan ia satu posisi yang besar tetapi tidak selari dengan bayaran gajinya.

Sememangnya, iklan tersebut mencetuskan perbincangan hangat di dunia maya. Ramai pengguna X (dahulunya Twitter) meluahkan rasa tidak percaya terhadap gaji yang ditawarkan, mempersoalkan bagaimana sesebuah syarikat boleh mengharapkan jawatan peringkat tinggi sedemikian diisi dengan bayaran yang begitu rendah.

jawatan
Sumber Gambar: X
jawatan
Sumber Gambar: X

Dalam pada itu, ramai juga tidak bersetuju jika kalau lokasi di luar KL seharusnya bergaji rendah walhal posisi yang ditawarkan adalah di peringkat tinggi dan pastinya pelbagai tugasan dan projek yang perlu dikendalikan.