Mulai 1 September, lebih 53,000 pekerja runcit di Singapura akan menikmati kenaikan gaji yang berterusan, termasuk latihan berfokus serta laluan kerjaya yang jelas di bawah Retail Progressive Wage Model (PWM).
PWM yang telah diterima oleh kerajaan berdasarkan syor Tripartite Cluster for Retail (TCR), akan menyediakan jadual kenaikan gaji berterusan selama tiga tahun dari 2025 hingga 2027, petik Mothership.sg.
Baca Juga:
- Ribuan ‘Pejuang SGD’ Berjalan Kaki Masuk Singapura, Kenapa Pemandu Bas Mogok?

- ‘Pejuang SGD’ Dijangka Berkurangan Dalam 5 Tahun

- Pejuang SGD Dakwa Kos Sara Hidup Lebih Murah Di Singapura Berbanding Malaysia
Pekerja runcit akan menerima sekurang-kurangnya gaji peringkat permulaan PWM sebanyak S$2,305 (RM7,591), meningkat daripada kadar PWM semasa iaitu S$2,175 (RM7,165).
Bagi tempoh 2025 hingga 2027, gaji kasar bulanan asas akan meningkat daripada S$2,305 (RM7,591) kepada S$2,565 (RM8,445).
Pekerja runcit boleh menjangkakan kenaikan gaji tahunan sehingga S$160 (RM526) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Gaji PWM mulai 1 September 2027 tertakluk kepada semakan pada tahun 2026. Sekiranya keadaan ekonomi bertambah baik, Gaji Kasar Asas PWM bagi tahun 2027 mungkin diselaraskan ke paras yang lebih tinggi.
Syor jadual gaji tiga tahun oleh TCR turut merangkumi keperluan gaji tambahan bagi jam kerja lebih masa.
Gaji Kasar Sejam juga terpakai kepada pekerja sambilan yang bekerja kurang daripada 35 jam seminggu.
Sokongan berterusan untuk majikan Singapura

Bantuan peralihan akan diberikan kepada majikan bagi menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji di bawah PWM.
Majikan yang layak akan secara automatik menerima sokongan pembiayaan bersama di bawah Progressive Wage Credit Scheme (PWCS) sehingga tahun 2026.
PWCS akan membiayai sehingga 40 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada pekerja berpendapatan rendah pada tahun 2025, dan 20 peratus pada tahun 2026.
Langkah ini akan mengurangkan tekanan kos, sambil membolehkan perniagaan memacu usaha transformasi untuk meningkatkan produktiviti dan menaikkan gaji secara mampan.
Latihan modul WSQ diperluaskan
Senarai modul latihan di bawah Workforce Skills Qualification (WSQ) yang layak untuk memenuhi syarat minimum latihan PWM, iaitu melengkapkan sekurang-kurangnya satu modul WSQ bagi semua peranan kerja akan diperluaskan.
Pekerja runcit yang memiliki kelayakan berkaitan daripada Institutes of Higher Learning (IHL) atau telah memperoleh ITE Skills Subject Certificate (ISSC) dalam bidang Runcit & e-Dagang juga akan diiktiraf sebagai telah memenuhi keperluan latihan minimum PWM.
Adakah skim PWM ini termasuk ‘Pejuang SGD’ dari Malaysia?
Malangnya tidak, ini kerana PWM hanya meliputi lebih 53,000 pekerja runcit sepenuh masa dan sambilan yang merupakan penduduk tetap Singapura sahaja.
Bagi pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura menggunakan Work Permit atau S Pass, majikan tidak diwajibkan mematuhi skim PWM ini.
Sebaliknya, kadar gaji mereka ditentukan mengikut pasaran atau terma kontrak kerja yang dipersetujui.