Sekumpulan organisasi pro-Palestin dan buruh, persatuan penyokong, atlet, selebriti serta pertubuhan hak asasi manusia menuntut agar persekutuan bola sepak kebangsaan memboikot Israel berhubung pembunuhan ratusan atlet Palestin di Gaza.

Kempen #GameOverIsrael, yang dilancarkan pada hari Selasa dengan papan iklan gergasi di Times Square.

Kempen tersebut menyeru agar persekutuan bola sepak Belgium, England, Perancis, Greece, Ireland, Itali, Norway, Scotland, dan Sepanyol memboikot bermain menentang pasukan kebangsaan serta kelab Israel, dan juga melarang pemain Israel.

Kenapa ia dilancarkan?

Tujuannya ialah bagi memberi tekanan kepada FIFA dan UEFA supaya menggantung penyertaan Israel.

“Bola sepak adalah perkara paling mudah diakses di dunia,” kata Ashish Prashar, bekas penasihat kepada Utusan Keamanan Timur Tengah UK yang juga pengurus kempen tersebut, kepada Zeteo.

“Ia adalah permainan rakyat. Dan memandangkan rakyat begitu marah dengan apa yang berlaku dalam pembunuhan beramai-ramai ini, membenarkan individu yang menyokong atau terlibat dalam genosid ini menjejakkan kaki ke padang bola rakyat adalah memalukan.

“Persekutuan bola sepak sepatutnya malu … kerana mereka telah membasuh imej jenayah perang dan genosid Israel melalui sukan.”

Dilaporkan, rejim tentera Israel telah membunuh lebih daripada 64,000 orang dalam tempoh 23 bulan, dan jumlah sebenar dikhuatiri jauh lebih tinggi.

Angka ini termasuk kira-kira 800 atlet Gaza, dengan lebih 400 pemain bola sepak terbunuh — antaranya Sulemain Al-Obeid yang dikenali sebagai “Pele Palestin”,  Mohammed Barakat yang digelar “Legenda Khan Younis”, serta Ahmad Abu al-Atta.

Israel juga telah memusnahkan sebahagian besar infrastruktur sukan di Gaza, termasuk stadium, gimnasium, dan kelab bola sepak.

Game Over Israel, Kempen Seru Boikot Negara Haram Daripada Bola Sepak Dan Sukan Lain

Jangan pilih kasih

Penganjur kempen #GameOverIsrael menjadikan boikot terhadap Rusia pada tahun 2022 sebagai contoh, apabila banyak persekutuan bola sepak enggan bermain menentang pasukan Rusia selepas pencerobohan Vladimir Putin ke atas Ukraine.

Di  mana FIFA dan UEFA menggantung Rusia daripada pertandingan bola sepak.

Kempen ini hadir kurang setahun sebelum Piala Dunia yang akan dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada bermula.

Kempen #GameOverIsrael mendapat sokongan beberapa tokoh terkenal, antaranya bekas pemain bola sepak Perancis Eric Cantona, bekas penyerang England serta pengulas BBC, Gary Lineker, penjaga gol legenda Itali Walter Zenga,  Bassem Youssef, dan pelakon Ireland serta bintang Game of Thrones, Liam Cunningham.

“Sudah tiba masanya memboikot Israel dalam bola sepak. Ia sudah terlalu lama,” kata Youssef dalam satu kenyataan video, sambil menegaskan ramai pemain bola sepak profesional Israel pernah berkhidmat dalam tentera Israel kerana perkhidmatan ketenteraan wajib di negara itu.

“Saya tak faham bagaimana mereka boleh dibenarkan berada di padang bola sepak di mana-mana sahaja.”

Cunningham pula berkata tidak perlu menunggu UEFA atau FIFA bertindak. Beliau menyeru peminat bola sepak di Ireland agar menuntut Persatuan Bola Sepak Ireland “tidak mahu lagi ada kena-mengena dengan pasukan kebangsaan Israel, kelab tempatan, dan juga pemain individu. Itulah cara menunjukkan solidariti.”

Kempen ini dibina atas desakan yang semakin kuat di seluruh dunia supaya program bola sepak Israel dikecualikan daripada pertandingan antarabangsa.

Suara dunia

Pada Isnin, Perdana Menteri Sepanyol menggesa agar pasukan Israel diharamkan daripada menyertai acara sukan antarabangsa, sama seperti pasukan Rusia pada tahun 2022.

Persatuan Bola Sepak Ireland pula menyeru UEFA dan FIFA supaya “mengambil pendirian tegas” mengenai kelayakan Israel untuk bersaing dalam bola sepak antarabangsa.

Bulan lalu, Persatuan Jurulatih Bola Sepak Itali turut meminta persekutuan bola sepak Itali mendesak UEFA dan FIFA menggantung Israel daripada pertandingan dunia.

Pada Jun, pakar undang-undang antarabangsa memberitahu FIFA bahawa Israel dan persatuan bola sepaknya melanggar undang-undang antarabangsa kerana menganjurkan perlawanan profesional di wilayah Palestin yang diduduki.

FIFA setakat ini masih menjalankan siasatan perlahan terhadap aduan daripada Persatuan Bola Sepak Palestin berhubung diskriminasi oleh Persatuan Bola Sepak Israel dan tindakan pasukan Israel bermain di penempatan haram di Tebing Barat.

Israel juga dikritik kerana menjadikan stadium bola sepak Gaza yang berkapasiti 9,000 tempat duduk sebagai kem tahanan sementara bagi rakyat Palestin pada Disember 2023.

Pelancaran kempen ini berlaku ketika Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki mengumumkan bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza.