Perkhidmatan e-mel Microsoft Outlook mengalami gangguan besar di beberapa wilayah pada Khamis, menyebabkan puluhan ribu pengguna berdepan kesukaran mengakses e-mel masing-masing.

Pihak Microsoft memaklumkan bahawa masalah sambungan tersebut berpunca daripada bebanan tinggi pada infrastrukturnya merentasi beberapa wilayah, yang turut menjejaskan beberapa produk keluaran syarikat itu yang lain, petik AFP.

Pada awalnya, syarikat teknologi gergasi itu menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung laporan gangguan di benua Amerika. Namun, Microsoft kemudiannya mengesahkan isu berkenaan berkemungkinan menjejaskan sambungan perkhidmatan Microsoft 365 bagi pengguna di mana-mana wilayah di seluruh dunia.

Microsoft 365 merupakan perkhidmatan langganan berasaskan awan yang merangkumi pelbagai aplikasi popular termasuk Outlook dan Teams.

Menerusi satu kenyataan di platform X, Microsoft menjelaskan bahawa sebahagian infrastrukturnya mengalami bebanan tinggi di beberapa wilayah, sekali gus menyumbang kepada berlakunya ralat sambungan.

“Kami sedang mengusahakan segala langkah secara agresif bagi mengurangkan impak gangguan ini. Semua pelaksanaan sistem baharu telah dihentikan buat sementara waktu, trafik tambahan sedang dialihkan daripada infrastruktur yang terjejas, dan pelayan yang berkaitan sedang dimulakan semula bagi memulihkan perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.